Nasib Orang Asli Sengsara Di Bawah Kerajaan Pas, 34 Tahun Kemusnahan Nenggiri – Syahbuddin

GUA MUSANG, 6 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim menuntut penjelasan dari Kerajaan Pas untuk berterus terang dengan rakyat Nenggiri mengenai kelulusan sebenar yang telah dikeluarkan oleh kerajaan negeri untuk meneroka tanah hutan di Ulu Nenggiri.

Tegasnya, di saat Pas Kelantan atau kerajaan negeri mencanangkan kepada rakyat bahawa mereka adalah sebuah kerajaan yang telus dan adil, rakyat di bawah bergelut sekian lama untuk mendapat geran milik tanah.

“Sudah 34 tahun rakyat Nenggiri terpaksa menanggung kemusnahan alam sekitar terutamanya kaum Orang Asli manakala hasilnya diperoleh oleh kerajaan negeri dan penerima pajakan tanpa ada pulangan yang wajar kepada rakyat Nenggiri.

“Pemimpin Pas Kelantan tidak perlu bercerita mengenai pembangunan di Gua Musang kerana Kerajaan Persekutuan melalui KESEDAR telah melakukan yang terbaik untuk membangunkan Gua Musang walau setiap kali bajet Negeri Kelantan, daerah Gua Musang sering ditinggalkan.

“Gua Musang terutamanya Nenggiri seolah-olah hanya dijadikan mesin ATM kerajaan Negeri Kelantan untuk dapatkan ‘tauke’ pembalakan,” katanya kepada pemberita di Command Centre BN di Balai Rakyat Bukit Cekati, Gua Musang. 

Syahbuddin yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata melalui permohonan kelulusan EIA berjaya mengesan tidak kurang dari 54 kelulusan baharu penerokaan hutan.

“Keluasan yang terlibat melebihi 33 ribu ekar kawasan hutan di Gua Musang dan kebanyakan penerokaan ini melibatkan kawasan hutan Ulu Nenggiri, Mukim Bertam.

“Kerajaan Pas Kelantan dalam diam-diam telah memberikan pelbagai konsesi penerokaan hutan kepada banyak syarikat termasuk syarikat bukan bumiputera melalui pelbagai kaedah seperti ‘Alibaba’ oleh pihak penerima pertama,” katanya lagi.

Tambah Syahbuddin, terdapat beberapa kelulusan penerokaan hutan di bawah yang kebanyakan terlibat dalam pengeluaran balak.

“Ia amat mencurigakan di sebalik pendirian kerajaan negeri yang kononnya menjaga hak rakyat,” jelasnya lagi.

Ujarnya, salah satu pemberian projek ladang hutan adalah sebuah syarikat yang tidak sampai setahun diwujudkan dan bukannya milik anak Kelantan malah syarikat bukan bumiputera bukan Kelantan.

“Syarikat Bintang Mahligai Trading Sdn Bhd adalah milik individu yang bernama Chua Jun Kim, Yoo Yoon Cheng dan Lim. Chee Boon yang didaftarkan pada 9 Ogos 2023,menerima anugerah Projek Ladang Hutan di HSK Perias, Ulu Nenggiri dengan keluasan sebanyak 202 hektar,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit