Jalaluddin Mahu Jadikan Negeri Sembilan Hub Pengeluaran Durian
KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berhasrat mahu menjadikan negeri ini sebagai hub pengeluaran durian.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang berkata ia akan memberi manfaat kepada orang kampung dalam harga buah durian yang bakal dikomersialkan.
“Pada 22 Julai 2024 yang lalu saya telah menyatakan impian agar Negeri Sembilan memiliki sebuah kilang memproses buah durian pada skala besar untuk tujuan eksport ke peringkat lokal dan antarabangsa.
“Kesinambungan daripada itu, pada hari ini saya bersama beberapa Ahli Parlimen dan ADUN Negeri Sembilan ke Raub, Pahang bagi meneliti pengurusan dan pengoperasian kilang memproses durian antara terbaik di negara ini.
“Selepas meluangkan masa lebih dua jam, saya optimis untuk mencadangkan kewujudan hub pengeluaran durian di Negeri Sembilan dalam tempoh masa terdekat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Jalaluddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan dalam pada itu menjangkakan dengan tertubuhnya hub pengeluaran durian Negeri Sembilan ini, ia bakal menyediakan peluang-peluang pekerjaan yang luas kepada penduduk setempat, disamping mampu mengupayakan industri hiliran dalam pasaran ekonomi.
“… yang pastinya kita juga akan meneliti dari segi kualiti buah mengikut varieti seperti Musang King, IOI, D24, Tupai King, Theka dan sebagainya.
“Insya-Allah sedikit masa lagi nama Negeri Sembilan akan mekar di persada antarabangsa dek kerana produk buah duriannya,” ujar beliau. – UMNO Online