Sedia Bawa Suara Rakyat Nenggiri Ke Sidang DUN, ‘Wake Up Call’ Untuk Kelantan – Awi

GUA MUSANG, 5 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata kepercayan pengundi di kawasan berkenaan kepada BN akan menguatkan lagi suara pembangkang di DUN Kelantan.

Pada masa yang sama, beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Awi turut melihat langkah berkenaan akan menjadi ‘wake-up call’ kepada kerajaan negeri agar memberikan perhatian serta tumpuan kepada permasalahan bukan sahaja di Nenggiri malah di Kelantan.

“Kemenangan BN di Nenggiri nanti boleh jadi ‘wake-up call’ kerana di sidang DUN hari ini kita ada dua wakil daripada pembangkang dan ia boleh menguatkan lagu suara rakyat. Insya-Allah akan menjadi suara kepada bukan sahaja di DUN Nenggiri malah anak muda di Negeri Kelantan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama Ketua Pemuda UMNO yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh mengadakan ziarah kasih bersama penduduk di Kampung Jerek.

Azmawi seterusnya berkata, hari ini peluang terbuka luas di tangan rakyat Nenggiri untuk mereka memilih siapakah wakil yang akan diharapkan dan BN sedia menggalas tugas berkenaan.

“Semestinya kita kena kembali kepada pilihan di tangan rakyat. Rakyat perlu memilih siapa yang rakyat rasakan selesa. Kalau rakyat merasakan perlu ada seorang lagi wakil rakyat daripada parti yang berbeza atau yang berbeza pandangan dengan kerajaan maka inilah masanya. Mesej itu perlu dihantar dengan jelas pada 17 Ogos nanti.

“Saya merayu kepada pengundi agar memberi ruang kepercayaan dan peluang kepada saya bagi menjadi wakil mereka di DUN nanti. Semestinya saya orang muda, orang baharu yang akan bekerja kuat bersama dengan rakyat di DUN Nenggiri, insya-Allah,” ujarnya.- UMNO Online

 

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit