PRK Nenggiri Buka Pekung PPBM, Didominasi Oleh Pelompat Transit – Puad

KUALA LUMPUR, 5 Ogos –  Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan PPBM sebagai parti yang lemah kerana bergantung dengan rakan partinya dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Menurut beliau ini kerana PPBM didominasi oleh pelompat transit yang hanya mahukan jawatan dalam parti.

“Kelemahan utama PPBM ialah parti itu tidak memiliki kekuatan sendiri. Ia banyak bergantung kepada Pas. Itu sebab PPBM gagal mengambil alih peranan UMNO.

“Parti itu didominasi oleh pelompat transit. Mereka jadikan PPBM pusat transit untuk kembali berkuasa. Maka talent baru tersekat kerana dominasi pelompat transit ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Malah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit berkata ini dapat dilihat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri yang menyaksikan calon PN/PPBM yang diketengahkan adalah bekas pemimpin Pas, namun bertindak lompat ke PPBM beberapa hari sebelum pengumuman calon.

“Itu punca PPBM tidak cukup anak lelaki sampai pinjam lelaki Pas untuk jadi calon. Nenggiri buka pekung PPBM . Jalan terbaik ialah kembali kepada UMNO atau sertai Pas. Ikut Annuar Musa.

“Tinggalkanlah PPBM . Kuasa tidak ada, peranan pun tidak ada. Laki laki makin pupus,”ujar beliau.

Puad pada hantaran sebelumnya turut sama menempelak dengan tindakan PN yang mengkehendaki calon PN untuk melafaz ikrar dan sumpah laknat untuk tidak meninggalkan parti, meskipun calon tersebut juga telah melompat.

“Pas satu satunya parti di dunia yang wajibkan ahlinya keluar parti untuk melompat ke parti lain. Kemudian dipaksa buat sumpah laknat supaya tidak melompat parti selepas menang.

“Ini fatwa baru Pas dalam politik. İni bukan tebuk atap tetapi pecah pintu depan. Alasannya PPBM kurang anak lelaki. Kena ambil anak tiri dari Pas.

“Itu betul. PPBM kurang anak lelaki kerana parti telah mandul. Kena curi anak tiri lelaki dari parti lain termasuk dari UMNO,” ujar beliau.

Untuk rekod PRK berkenaan diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, berikutan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos, manakala hari mengundi awal pada 13 Ogos tidak akan diadakan, selepas kesemua 14 pengundi terlibat memilih mengundi secara pos susulan keperluan mereka bertugas sepanjang tempoh kempen. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.