Perpaduan Resepi Kejayaan Parti, Kukuhkan Akar Umbi Setiap Peringkat – Manndzri
MERSING, 5 Ogos – Resepi kepada kejayaan parti adalah perpaduan dengan mengukuhkan akar umbi di setiap peringkat, kata Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib.
Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tenggara berkata, setiap ahli di peringkat akar umbi perlu bersatu suara, pandangan dan pendapat bagi menempuhi liku-liku politik yang kian mencabar.
“Pada pandangan saya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebenarnya nak mengajak kita untuk kuatkan akar umbi. Kemudian kita kembali berpadu dengan matlamat supaya apabila parti kuat, kita boleh mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16. Ini penting supaya kita diterima balik oleh rakyat dan masyarakat.
“Ahli UMNO di peringkat akar umbi seharusnya perlu bersatu suara, pandangan dan pendapat kerana cabaran yang dilalui agak sukar. Dalam ucapan Presiden yang saya teliti, banyak menceritakan perihal kebenaran dilalui oleh peringkat atasan yang memberi kesan kepada keputusan-keputusan di bawah.
“Jadi saya kira kalau mesej-mesej seperti ini boleh terus dipanjangkan, saya harap momentum yang telah dibina di persidangan peringkat bahagian boleh dizahirkan dengan lebih jelas dan kuat di peringkat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kelak,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Mersing pada Sabtu.
Jelasnya, keyakinan Presiden UMNO bahawa Johor akan terus menjadi kubu kuat UMNO/Barisan Nasional (BN) adalah disebabkan negeri itu ditadbir oleh barisan kepimpinan yang progresif.
“Ia akan boleh memperkukuhkan lagi jati diri UMNO untuk mengorak langkah ke hadapan supaya akar umbi jelas dengan apa yang hendak dilaksanakan. Ini termasuklah pendekatan-pendekatan yang perlu dijalankan untuk mendepani cabaran terutamanya menuju PRU ke-16.
“Saya kira beliau (Presiden UMNO) juga turut mengulangi bahawa kepimpinan Menteri Besar merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merupakan salah satu ‘wow factor’ yang boleh memberikan keyakinan kepada masyarakat termasuklah pengundi baharu, menampakkan Johor ini ke arah lebih progresif.
“Jadi, atas sebab itu keyakinan Presiden dizahirkan bahawa Johor memang sewajarnya menjadi kubu kuat UMNO/BN. Sekarang ini ada dua pertiga (suara) di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN). Mudah-mudahan dengan kerjasama yang telah dibentuk dan kepimpinan menteri besar berserta nasihat, pandangan, bimbingan daripada UMNO/BN Pusat akan terus menjadikan Negeri Johor ini kubu kuat kepada kesejahteraan sebenarnya yang dipimpin oleh UMNO/BN,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa seruan kepada perpaduan dalam parti yang dibawa oleh Presiden UMNO adalah tepat pada masanya.
“Sebenarnya mana-mana kitab pun menggalakkan kepada perpaduan.
Jadi, seruan yang dibawa ini oleh pucuk pimpinan kita ini adalah universal sifatnya. Memang tiada jalan pintas untuk kita menang kerana tidak lain dan tidak bukan resepinya adalah memperkukuhkan akar umbi di setiap peringkat.
“Seruan kepada perpaduan ini adalah satu seruan yang sangat tepat pada masanya dan sepanjang zaman. Jika akar umbi boleh berpadu, kita kuat di peringkat bahagian, Insya-Allah kita boleh melakukan sesuatu yang baik.
“Apabila kita nampak berpadu dan kuat, disitulah akan mencipta gerun kepada musuh dan menarik kasih sayang daripada rakan-rakan yang sealiran dengan kita terutamanya komponen dalam BN,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman