Pengundi Nenggiri Boleh Bandingkan Kepimpinan Kerajaan BN Dengan Pas – Mahdzir Khalid

GUA MUSANG, 5 Ogos – Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menunjukkan kematangan dalam menilai kepimpinan politik, dengan tidak membangkitkan isu besar yang mengganggu masyarakat setempat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata rakyat di DUN Nenggiri mampu membuat perbandingan antara jasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lalu dengan kerajaan yang kini diperintah oleh Pas.

“Tidak ada perkara yang besar sangat yang hendak dibangkitkan oleh pengundi terutamanya berkaitan dengan masyarakat setempat. Rakyat Nenggiri tahu sebenarnya jasa-jasa pentadbiran kerajaan BN lalu dan mereka boleh buat perbandingan juga dengan kerajaan sekarang ini yang diperintah oleh Pas.

“Keyakinan rakyat Nenggiri terhadap BN masih kuat dalam kalangan pengundi, dan mereka akan memberikan undi kepada parti tersebut pada pilihan raya kali ini.

“Walaupun pengundi Nenggiri ini terletak jauh dari pusat bandar Gua Musang dan Kota Bharu, tetapi rakyat di sini tidak terpengaruh dengan kedudukan geografi sebaliknya mereka mempunyai pemikiran yang sangat baik serta lebih mementingkan prestasi dan perkhidmatan,” katanya kepada UMNO Online.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri, BN mempertaruhkan calon muda Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani bagi merampas semula kerusi tradisi milik parti itu yang beralih tangan kepada Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos ini, manakala hari mengundi awal yang pada mulanya ditetapkan pada 13 Ogos.

Seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.