Malaysia Kekal Bersolidariti, Tuntut Pembebasan Rakyat Palestin

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka!

Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi memberi isyarat jelas kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia kekal berada di belakang Palestin dan terus menuntut kemerdekaan negara itu daripada rejim Zionis Israel.

Perjuangan menuntut pembebasan Palestin kini bukan hanya merupakan perjuangan orang Islam, sebaliknya membabitkan perjuangan sejagat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata isu Palestin adalah soal kesejagatan dan kemanusiaan yang menjadi perjuangan semua pihak yang bersolidariti dalam menyokong pembebasan negara itu.

“Malam ini kita berkumpul sebagai tanda bahawa rakyat Malaysia tanpa mengira parti politik, tanpa mengira agama, tanpa mengira kaum, apa pun ideologi pegangan antara kita untuk Palestin kita bersolidariti menyokong perjuangan rakyat Palestin,” kata Presiden UMNO itu ketika menyampaikan Pidato Pembebasan Palestin pada himpunan berkenaan.

Ahmad Zahid berkata Ketua Biro Politik Hamas, As-Syahid Ismail Haniyeh yang maut dibunuh Israel baru-baru ini, sebelum ini juga pernah berpesan bahawa beliau mengharapkan rakyat Malaysia untuk terus memberikan bukan hanya sokongan moral tetapi sokongan material agar Palestin terutamanya Gaza dapat dibangunkan semula.

Katanya, Malaysia juga harus berbangga kerana mempunyai seorang tokoh yang berani seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lantang dan berterusan memperjuangkan pembebasan rakyat Palestin. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.