Laungkan Bebas Palestin! Hidup Palestin!… Ahmad Zahid Mohon Maaf Khilaf Bicara
KUALA LUMPUR, 5 Ogos – “Namun hati yang tulus ikhlas ini tetap membara untuk melaungkan Bebas Palestin! Hidup Palestin! Merdeka Palestin!”
Demikian tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berikutan kesilapan beliau ketika menyampaikan ucapan dalam Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi
Ujarnya yang juga Timbalan Perdana Menteri, beliau ghairah dan penuh bersemangat ketika menyampaikan ucapan.
“Dalam keghairahan dan rasa penuh semangat tadi, saya memohon maaf atas kekhilafan saya dalam berbicara,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.
Terdahulu, beliau memaklumkan malam tadi hadir bersama ribuan rakyat Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil bagi memberi dukungan dan tanda solidariti untuk pembebasan Palestin.
“Hadirnya kita hari ini sebagai rasa cinta terhadap keamanan, kedamaian dan menolak sekeras-kerasnya penindasan serta kezaliman manusiawi.
“Kami berkumpul bagi memperingati As-Syahid Al Mujahid Ismail Haniyeh yang telah dibunuh dengan kejam.
“Namun, walau seorang Ismail Haniyeh gugur ribuan mujahid lagi akan dilahirkan!”
Malam tadi, Stadium Arena Axiata, Bukit Jalil menjadi lokasi Himpunan Pembebasan Palestin yang dipenuhi kira-kira 12,000 orang termasuk kepimpinan dan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UMNO Online