Jadikan Semangat Kebangkitan PRK Kimanis 2020 Pemangkin Perjuangan Menghadapi PRN Sabah – Mohd Rafi
MEMBAKUT, 5 Ogos – Pemimpin serta ahli-ahli UMNO di kawasan Parlimen Kimanis diminta agar menjadikan semangat kebangkitan semasa menghadapi Pilihan Raya kecil (PRK) Kimanis pada Januari 2020 sebagai satu anjakan paradigma untuk kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata, semangat serta kebangkitan ahli-ahli parti semasa PRK tersebut sememangnya luar biasa setelah BN/UMNO tewas dalam PRU-14 dan keadaan lebih malang dengan tindakan beberapa pemimpin di negeri ini keluar meninggalkan UMNO dan menyertai parti Bersatu.
“Tidak ada sesiapa menduga UMNO di Sabah akan bangkit semula, malah sudah terdengar suara-suara sumbang UMNO akan terkubur di Sabah. Ditambahlagi ketika itu UMNO sebagai pembangkang melawan parti kerajaan dan di atas kertas sudah diramalkan sukar untuk mencapai kemenangan,” katanya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan berkata demikian ketika berucap memberikan ceramah pada program Jelajah Penerangan UMNO Malaysia bagi kawasan Parlimen Kimanis di Dewan SMK Membakut pada Ahad.
Menurut Mohd Rafi, UMNO Sabah yang diketuai oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin dengan sokongan pemimpin UMNO dari Pusat yang didukung dengan semangat perjuangan yang kental di kalangan pemimpin dan ahli UMNO maka dalam PRK Kimanis akhirnya UMNO/BN dapat mencipta kejayaan yang di luar jangkaan.
“Kemenangan ini boleh dicapai kerana adanya semangat perpaduan, bekerja dalam satu pasukan selain strategi yang tepat untuk mencapai kemenangan,” katanya.
Sehubungan itu Mohd Rafi berharap roh serta semangat perjuangan semasa menghadapi PRK Kimanis dibangkitkan semula dengan penambahbaikan beberapa pendekatan serta strategi yang efisyen dan tepat selari dengan perkembangan semasa.
Katanya, ini termasuklah memberikan penjelasan yang tepat terhadap isu-isu semasa di samping maklumat jelas berhubung dengan dasar serta perjuangan parti.
“Tanggungjawab kita sebagai jentera penerangan di semua peringkat bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri dan cawangan-cawangan ialah memberikan penjelasan terhadap isu-isu semasa. Jangan biarkan segala proganda, fitnah dan provokasi ditularkan oleh pihak lawan sehingga boleh menimbulkan presepi negatif kepada parti,” katanya lagi.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Ketua UMNO bahagian Kimanis merangkap Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin. Ia turut dihadiri oleh barisan kepimpinan UMNO bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri. – UMNO Online
Oleh: Jaafar Abd Wahid