Awi Calon BN, Ada Pakej Tersendiri Untuk Masyarakat DUN Nenggiri – Dr Akmal

GUA MUSANG, 5 Ogos – Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Dr Muhamad Akmal Saleh melihat calon yang diketengahkan parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mempunyai pelbagai kelebihan.

Bagi beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia, amat rugi jika pengundi di kawasan berkenaan tidak menyatakan kepercayaan mereka pada 17 Ogos nanti kepada parti berkenaan dalam usaha memastikan suara masyarakat Nenggiri dan Kelantan dapat dibawa ke dalam sidang DUN nanti.

“Apa kelebihan yang ada pada calon kita sekiranya pengundi di sini memberikan kepercayaan mereka pada 17 Ogos nanti…. pertama, calon kita ini bukan calon bidan terjun dan sememangnya seorang yang memang dah lama berbakti untuk orang kampung.

“Sudah tentu beliau boleh berkhidmat sebaiknya dan kalau hari ini ramai yang tengok kita mahu lahirkan sepertimana wakil rakyat ADUN Duyong, YB Helmi. Sebab itu saya kata yang ini kita akan lahirkan wakil rakyat YB Helmi yang kedua dan kita nak beritahu bahawa calon yang kita ada ini memang calon anak tempatan dan memang boleh bekerja bersungguh-sungguh,” katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau lebih dikenali Awi mengadakan ziarah kasih dan beramah mesra dengan penduduk setempat di Kampung Jerek.

Dr Akmal seterusnya menambah kemenangan Awi pada aspek lain sudah pasti ianya boleh menjadi penghubung atau jambatan dengan kerajaan di peringkat pusat.

“Kalau katalah BN menang di sini beliau sudah tentu akan menjadi penghubung kepada kerajaan pusat… jadi sepertimana komitmen daripada Timbalan Perdana Menteri yang mengatakan bahawa insya-Allah akan memberi tempoh Awi setahun untuk kita buat perubahan.

“Sebab hari ni kita nampak banyak pembangunan yang berlaku pada zaman Barisan Nasional memerintah tapi tertangguh… jadi yang ini sebenarnya menjadi satu titik hubungan ataupun jambatan daripada rakyat Nenggiri kepada kerajaan pusat.

“Pada masa yang sama juga jika BN mencapai kemenangan nanti, sudah tentulah Kerajaan Negeri Kelantan akan memberikan fokus kepada Nenggiri sebab apabila melihat Nenggiri ini kalah dan mereka sudah pasti mahu kembali menang balik Nenggiri nanti. Jadi yang untungnya siapa… yang untungnya tetap juga rakyat di Nenggiri,” ujarnya lagi.- UMNO Online

 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.