PRK Nenggiri: Pendekatan Pemuda UMNO Dalam Selesaikan Isu Anak Muda – Azman Azeez

GUA MUSANG, 4 Ogos – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez berkata jentera Pemuda UMNO telah berada di seluruh Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bagi membantu calon Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Ini kerana katanya sudah semestinya Pemuda UMNO akan menyelesaikan beberapa isu yang berkaitan anak muda di Nenggiri.

“Sudah pasti Pemuda UMNO telah menggerakkan khususnya jentera Pemuda UMNO untuk berada di seluruh Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang terlibat di DUN Nenggiri dan sudah semestinya ada isu-isu yang perlu diketengahkan dan juarai.

“Isu-isu ini adalah di kawasan setempat dan Azmawi yang boleh membawa suara-suara rakyat Nenggiri dan kebetulan beliau juga pemimpin belia di sini. Ini merupakan nilai tambah untuk calon UMNO/BN yang boleh menjiwai membawa suara orang muda khususnya kerana di Nenggiri ini terdapat hampir 60 peratus pengundi yang berumur di bawah 40 tahun.

“Ini adalah nilai tambah yang baik bagi Azmawi untuk bawa suara orang muda dan juga rakyat Nenggiri ini dan bukan hanya diperingkat Nenggiri tetapi di negeri Kelantan amnya. Kita tahu Kerajaan Perpaduan hanya ada dua wakil suara rakyat ke DUN Kelantan tetapi insya Allah… dengan tambahan seorang dan menjadi tiga wakil bagi membawa suara rakyat di peringkat DUN,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Mengulas lanjut, Azman yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Baling kesepakatan dan kesepaduan antara jentera parti dalam Kerajaan Perpaduan membolehkan jentera parti bergerak dengan baik dalam membantu memastikan kemenangan calon.

“Saya lihat ‘mood’ yang baik dan diterima oleh semua lapisan masyarakat. Jentera parti, barisan kepimpinan sayap Pemuda UMNO serta jentera Kerajaan Perpaduan semuanya komited bagi memastikan kemenangan berpihak pada calon UMNO/BN untuk rampas kembali DUN Nenggiri ini.

“Bila jentera parti berjalan baik, strategi dapat dilakukan dengan terbaik seterusnya memberi keyakinan kepada rakyat bahawa pilihan terbaik untuk rakyat Nenggiri,” katanya lagi.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan satu lawan satu yang terdiri daripada Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (calon nombor dua) dengan calon Mohd Rizwadi Ismail (calon nombor satu) bagi merebut kerusi DUN Nenggiri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan penamaan calon bagi pilihan raya itu hari ini diikuti pengundian pada 17 Ogos.

Seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit