PRK Nenggiri Antara Rakyat Dengan Kerajaan Pas Kelantan – Ahmad Jazlan

GUA MUSANG, 4 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub melihat Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri sebagai pertembungan antara rakyat di kawasan berkenaan dengan kerajaan negeri yang dipimpin Pas.

Justeru beliau menegaskan 17 Ogos nanti adalah peluang terbaik rakyat di kawasan berkenaan untuk menyatakan ketidakpuasan hati masing-masing dengan mengundi calon BN, Mohd Azmawi Fikri.

“Pilihan raya ini akan menentukan suara daripada  rakyat Nenggiri dan Gua Musang. Suara rakyat Nenggiri yang mewakili rakyat negeri Kelantan yang mungkin selama ini memendam rasa terhadap kerajaan negeri hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Dewan Rakyat Bukit Cekati, di sini sejurus selesai proses penamaan calon Sabtu.

Turut hadir Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengarah Pilihan Raya DUN Nenggiri, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta kepimpinan UMNO/BN dan jentera-jentera pilihan raya.

Ahmad Jazlan yang juga Pengarah Operasi BN PRK DUN Nenggiri seterusnya menambah rakyat Nenggiri berpeluang untuk menterjemahkan rasa ketidakpuasan hati terhadap apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri Kelantan hari ini disebabkan sekian lama penggal demi penggal, tekad demi tekad mereka (Pas) berkuasa namun ternyata gagal sehingga hari ini.

“Pada masa yang sama saya merayu dan memohon agar seluruh jentera terus berkerja sebaiknya. Tidak ada perkara yang lebih penting dalam menterjemahkan kemenangan dan akan terubat penat lelah jentera BN.

“Insya-Allah, kemenangan pada kali ini akan memberi semangat baharu BN dan Kerajaan Perpaduan untuk mengorak langkah yang lebih panjang, buka langkah yang lebih hebat supaya perjuangan kita untuk pilihan raya akan datang akan menjadi titik mula di Nenggiri ini,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit