Pemimpin Akar Umbi UMNO Digesa Teruskan Strategi Sampaikan Info Berkesan
BEAUFORT, 4 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata ahli parti di peringkat akar umbi memerlukan informasi tepat dan maklumat yang terkini terutama berkaitan isu-isu semasa.
Beliau berkata ia penting agar ahli UMNO sentiasa cakna dan secara langsung dapat mempertahan dan memperkuatkan parti selain mencegah daripada ahli UMNO terpengaruh dengan pelbagai presepsi, propaganda dan fitnah yang dimainkan oleh parti lawan untuk meraih sokongan.
“Kita maklum pihak lawan ketika ini aktif mengapliakasikan pelbagai strategi dan pendekatan terutamanya dengan menggunakan media baharu bagi mewujudkan pelbagai prsepsi negatif kepada UMNO/BN dengan harapan dapat menutup kegagalan mereka mentadbir dan membangunkan Sabah,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Jelajah Penerangan UMNO Malaysia di Parlimen Beaufort bertempat di dewan Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) dekat sini pada Sabtu.
Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan selaku penceramah program tersebut dan Ahli Parlimen Beaufort yang juga MKT UMNO, Datuk Siti Aminah Aching.
Turut hadir Timbalan Ketua UMNO bahagian Jaluddin Kadir; Setiausaha bahagian Abdul Rahman Mohd Taib serta Ketua Penerangan bahagian, Awang Damit@Handraf Jion.
Sehubungan dengan itu Awang Aslee berharap mereka yang berpeluang menghadiri program tersebut agar dapat menyebarluaskan segala maklumat kepada ahli di peringkat akar umbi.
“Saya kagum semangat ahli-ahli yang hadir menyertai program ini, ianya menunjukkan kesungguhan bagaimana mereka cuba untuk pastikan maklumat yang diterima pada hari ini yang disampaikan semua penceramah, input yang telah diberikan dapat diturunkan kepada keseluruhan ahli di peringkat cawangan-cawangan dan masyarakat secara keseluruhannya,” katanya lagi.
Sementara itu Mohd Rafi yang juga Ketua UMNO bahagian Labuan ketika menyampaikan ceramah di majlis tersebut berkata Program Jelajah Penerangan UMNO Malaysia yang digerakkan ke bahagian-bahagian seluruh negara adalah pendekatan yang sangat bermanfaat dalam strategi menyampaikan informasi yang bukan saja efisyen dan praktikal tetapi juga memberi kesan.
Katanya aplikasi pendekatan dan method baharu ini bukan saja menerangkan penggunaan media sosial yang biasa bahkan dari sudut memanfaatkan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI).
“Kita juga ada majlis dialog bagi memberi pencerahan yang penting untuk manfaat kepimpinan di peringkat cawangan khususnya penerangan bagi menyampaikan maklumat kepada anggota akar umbi. Ini kerana khalayak yang memenuhi dewan dapat bertanyakan pelbagai soalan secara terus,” katanya. – UMNO Online
Oleh: Jaafar Abd Wahid