Pelaksanaan Motosikal B2 Ke B Penuh: Bukti Cadangan Keprihatinan Kepimpinan UMNO Dilaksana
KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Pengumuman mengenai pelaksanaan menaik taraf lesen motosikal bagi kelas B2 kepada B penuh secara automatik adalah langkah proaktif hasil cadangan Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam hal ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menyambut baik langkah tersebut yang dianggap sebagai usaha berterusan bagi memudahkan masyarakat.
“Inilah antara hasil kelangsungan keberadaan kepimpinan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan yang bersungguh-sungguh melaksanakan yang terbaik untuk rakyat.
“Cadangan dari Presiden UMNO dilaksanakan yang manfaatnya sama-sama diperoleh oleh masyarakat secara holistik,” katanya kepada UMNO Online.
Jelasnya, dengan adanya kestabilan dan kemakmuran negara maka tentunya pelbagai perkara akan dapat dilaksana dan pemimpin UMNO juga dapat memainkan peranan lebih aktif.
Dilaporkan, keputusan Pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) Motosikal Kelas B1 atau B2 yang mematuhi syarat boleh mendapatkan LMM Motosikal Kelas B bermula 1 Oktober ini.
Ia adalah satu program khas peralihan yang akan diperkenalkan kepada pemegang LMM kelas B1 dan B2 untuk beralih dan mendapatkan LMM kelas B dengan beberapa syarat.
Syarat tersebut ialah individu telah memegang LMM kelas B1 atau B2 secara aktif untuk tempoh berterusan minimum 10 tahun.
Syarat ini bagi memastikan tahap kompetensi dan pengalaman pemanduan kenderaan motosikal bagi mana-mana individu sebelum beralih kepada motosikal berkuasa besar. – UMNO Online