Jelajah Penerangan UMNO: Kalabakan Destinasi Terakhir Negeri Sabah

KALABAKAN, 4 Ogos – UMNO Kalabakan merupakan destinasi terakhir untuk Jelajah Penerangan UMNO bagi Negeri Sabah yang berlangsung hari ini di Inderaloka Grand Ballroom, Tawau.

Jelajah Penerangan UMNO yang merupakan hasil cetusan idea Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said diadakan untuk memantapkan lagi komunikasi dan penerangan kepada ahli, akar umbi mahupun para pengundi.

Ia juga merupakan persiapan kepada jentera penerangan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka bakal berlangsung tidak lama lagi.

Diadakan bermula jam 2.00 petang, majlis dimulakan dengan slot Hala Tuju Penerangan yang disampaikan oleh Ketua Unit Pengurusan Operasi Jabatan Komunikasi, Mohd Al-Faiz Abd Hamid.

Seterusnya, Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasudin Yusop meneruskan acara dengan menyampaikan ucapan aluan dan merasmikan Majlis Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Kalabakan.

Majlis diteruskan lagi dengan ceramah penerangan yang dipanjangkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan.

Untuk rekod, Jelajah Penerangan UMNO telah bertamu di lapan bahagian di Negeri Sabah termasuklah Beaufort, Kimanis, Libaran dan banyak lagi.

Penerangan UMNO Malaysia dengan penuh komited melaksanakan Jelajah Penerangan UMNO ini dalam usaha untuk memperoleh kemenangan dan sokongan daripada rakyat.

Diharapkan dengan segala usaha ini akan membawa UMNO menuju ke arah kemenangan pada pilihan raya akan datang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit