Hadam Situasi Politik Baharu, Perkukuh UMNO Untuk Terus Relevan – Ahmad Zahid

KOTA RAJA, 4 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menekankan agar ahli-ahli UMNO dapat mendakap realiti politik baharu dan melaksanakan perubahan dalam pendekatan agar terus kekal relevan.

Katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri, anggota UMNO perlu tukar budaya lampau kerana sekiranya masih guna pendekatan lama dan melayani masalah dalaman maka parri tidak akan relevan di arus perdana.

“Kita sedang mendakap realiti politik baharu. Hari ini realiti politik UMNO dalam Kerajaan Perpaduan dan kita bersama-sama rakan-rakan parti politik lain mentadbir negara.

“Dalam politik tidak ada kemustahilan. Tak ada musuh yang kekal dan tak ada rakan yang kekal. Realiti politik baharu ini perlu kita depani,” katanya.

Jelas Ahmad Zahid, UMNO berubah daripada realiti sebelum ini, selepas kalah 22 bulan menjadi pembangkang, kemudian dalam kerajaan yang UMNO diibarat melukut di tepi gantang seterusnya bertukar untuk menjadi kepompong.

“Hari ini BN/UMNO dengan 30 kerusi kita dihargai apabila tujuh orang menteri penuh dan enam orang timbalan menteri.

“Janganlah yang di akar umbi ini menganggap kita seolah-olah ada kuasa sepenuhnya. Walaupun kita tidak dominan dalam kerajaan tetapi UMNO memainkan peranan penting untuk melaksanakan pentadbiran dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kota Raja, yang berlangsung di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Megat Zulkarnain Omardin.

Ahmad Zahid juga meminta anggota parti menghargai dan menjaga Kerajaan Perpaduan sebaiknya agar UMNO dapat menerjah arus yang ada di hadapan.

“Indahnya Kerajaan Perpaduan yang kita laksanakan. Dalam mewujudkan realiti politik ia dilaksana dengan persefahaman.

“Dalam pemerhatian saya dalam tujuh menteri-menteri UMNO sangat berpuas hati. Kita tak pernah timbulkan masalah malah semuanya melaksanakan tanggungjawab sebaiknya juga usaha Tengku Zafrul yang mencari ruang pelaburan di Malaysia amat baik.

“Kita harus ke hadapan untuk memperkukuhkan masalah dalaman parti. Sebelum ini kita kalah bukan kerana musuh politik kita kuat tetapi kita yang lemah.”

Ujarnya, apa makna ada jawatan penting dalam parti jika tidak menjadi penyumbang dalam kepimpinan kerajaan.

“Dulu pendekatan kita dalam UMNO ialah politik pembangunan dan politik perkhidmatan. Parti-parti politik lain tak pernah pun laksanakan sedemikian tetapi mereka berjaya kalahkan kita kerana mereka gunakan sentimen dan isu yang dekat dengan rakyat.

“Untuk itu biarpun kita kekalkan perkhidmatan kepada rakyat tetapi untuk isu kita jangan ketinggalan. Budaya lama dan cah keting yang perlu kita tinggalkan.”

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mengimbas sejarah Selangor yang menjadi ‘simpanan selamat’ untuk pilihan raya.

“Suatu ketika Selangor adalah simpanan tetap namun ia dah berubah. Perubahan ini berubah secara berstruktur kerana kita lambat atau gagal membaca perkiraan politik semasa yang kita lakukan sendiri.

“Ketika itu Selangor dan Pulau Pinang adalah negeri yang menerima kadar pelaburan tertinggi.

“Kita lupa demografi politik berubah dan mungkin juga ada sedikit riak, maka kesempatan itulah diambil oleh pihak yang sering menunggu-nunggu untuk kita terus rebah dan melata di bumi Selangor.”

Justeru katanya, sejarah silam jangan dipadamkan sebaliknya harus dihadam dengan tekad kembalikan kuasa dominan UMNO.

“Tatacara BN/UMNO berpolitik adalah yang paling betul dan tidak ada pada mana-mana parti politik lain.

“Kini keberadaan kawan-kawan dalam Kerajaan Perpaduan adalah realiti politik yang perlu dihadami dan laksanakan amanah parti, katanya lagi.

Beliau turut berpesan agar UMNO Selangor bersatu dengan diakhiri pelukan daripada Megat Zulkarnain dan Tengku Zafrul. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.