Shamsul Anuar Wakil Malaysia Hadiri Pengebumian Ismail Haniyeh

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah mewakili Kerajaan Malaysia memberikan penghormatan terakhir kepada pemimpin tertinggi Hamas, Ismail Haniyeh.

Beliau diiringi Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan pegawai-pegawai daripada KDN serta pegawai-pegawai Kedutaan Malaysia di Doha.

Rombongan tersebut tiba di Hamad International Airport pada Jumaat 2 Ogos 2024 jam enam pagi waktu tempatan dan disambut oleh kedutaan Malaysia di Doha.

“Sebaik selesai Solat Jumaat, 27 Muharram 1446 Hijrah, bersamaan 2 Ogos 2024 Masihi yang diadakan di Masjid Imam Muhammad Ibn Abdul Al Wahhab Doha, Qatar dan dihadiri oleh ribuan jemaah daripada pelbagai negara dan rakyat tempatan.

“Saya dibawa oleh Wakil Kedutaan Malaysia di Doha mengiringi Jenazah yang suci, pemimpin syahid, Mujahid Ismail Haniyeh ke tempat peristirahatan terakhirnya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Founding Imam Bandar Lusail, Doha pada jam 1 petang waktu tempatan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Upacara pengebumian itu dilakukan dengan kehadiran orang ramai serta penyertaan pemimpin Arab dan Islam dari pelbagai negara.

Shamsul berkata kehadiran ribuan orang ramai sewaktu solat jenazah dan di pengebumian Haniyeh jelas menunjukkan nilai penghormatan yang tinggi kepadanya sebagai pemimpin teragung Palestin.

“Sudah pasti, perjuangannya akan diteruskan dalam usaha membebaskan Palestin dari cengkaman Zionis dan sebuah negara merdeka,” ujarnya.

Beliau turut sama meluahkan penghargaan atas bantuan semua pegawai-pegawai kedutaan yang bertungkus lumus melaksanakan perjalanan ini.

Terdahulu media Iran melaporkan bahawa Haniyeh terbunuh dalam serangan Israel yang menyasarkan tempat penginapannya di utara Tehran sekitar pukul 2 pagi waktu tempatan pada 31 Julai.

Haniyeh berada di Tehran untuk menghadiri upacara angkat sumpah presiden baharu Iran Masoud Pezeshkian. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.