Pertembungan Satu Lawan Satu Di PRK Nenggiri

GUA MUSANG, 3 Ogos – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan PAS.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan, manakala pencabarnya daripada PAS merupakan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Mohd Rizwadi Ismail.

Kedua-dua mereka diumum sebagai calon yang layak bertanding oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK DUN Nenggiri Nik Raisnan Daud, selepas selesai proses penamaan calon pada 10 pagi tadi di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang, di sini.

PRK berkenaan diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, berikutan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan Ke-15 tahun lepas, Mohd Azizi yang bertanding menggunakan logo PAS menewaskan calon BN Ab Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.