Ku Li Yakin Pengundi Nenggiri Sedia Pilih ‘Awi’

GUA MUSANG, 3 Ogos – Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah percaya dan yakin pengundi di DUN berkenaan akan menyatakan sokongan masing-masing kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani pada 17 Ogos nanti.

Menurut beliau langkah tersebut adalah untuk memastikan lebih banyak lagi kejayaan akan dicapai serta dinikmati oleh masyarakat di kawasan berkenaan.

“Saya ingin menyatakan dengan penuh harapan dan keyakinan bahawa ramai akan menyatakan sokongan kepada kita nanti… jika kita menang, insya-Allah lebih banyak kejayaan akan kita capai.

“Di hadapan pimpinan UMNO yang diketuai oleh Datuk Presiden kita, saya berjanji kepada seluruh rakyat, termasuk masyarakat orang asli. Jangan khuatir, jangan bimbang dengan janji-janji bohong yang dibuat oleh pimpinan Pas Kelantan. Selama ini, kita telah berusaha keras termasuklah mewakili Orang Asli untuk memastikan tanah-tanah adat di Kelantan ini diiktiraf.

“Saya sendiri telah bertemu dengan dua mantan Menteri Besar Pas yang kini telah kembali ke Rahmatullah. Namun, hingga kini, tanah adat masih belum diiktiraf. Hari ini, saya berjanji bahawa usaha kita tidak akan berhenti. Kami komited untuk memastikan tanah-tanah ini diiktiraf sebagai tanah kekal milik Orang Asli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis bersama calon BN di  Balai Rakyat Bukit Cekati, di sini, hari ini. Turut serta Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta pimpinan negeri dan setempat yang lain.

Razaleigh seterusnya menambah walaupun Pas telah memerintah negeri ini hampir 40 tahun, sudah tiba masanya rakyat sedar dan insaf tentang tanggungjawab yang sewajarnya.

“Kita mesti tunaikan segala janji ini untuk menebus segala kerugian yang dialami oleh rakyat selama ini. Melalui pilihan raya umum akan datang, kita bertekad untuk mendapatkan kuasa di Kelantan ini. Kita ingin menghentikan penguasaan Pas di Pantai Timur dan utara semenanjung, dan kembali kepada rakyat untuk memajukan tanah air kita.

“Matlamat kita adalah untuk memastikan rakyat dapat hidup dalam keadaan yang lebih sempurna dan kita dapat menikmati  apa makna Malaysia Merdeka,” ujarnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit