Gelanggang PRK DUN Nenggiri Mula Dibuka

GUA MUSANG, 3 Ogos – Gelanggang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bermula hari ini dengan proses penamaan calon berlangsung di Dewan Sivik Gua Musang, di sini.

Bermula jam 8.30 pagi, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama pimpinan pusat dan negeri mengiringi calon BN Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berarak dari perkarangan pejabat Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) ke pusat penamaan calon.

Hadir sama Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh; Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi; Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakob dan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, YM Tan Seri Tengku Razaleigh Hamzah, turut serta kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

Lebih 5,000 penyokong BN dan Pakatan Harapan (PH) telah hadir untuk memberikan sokongan yang padu kepada calon Kerajaan Perpaduan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos ini, manakala hari mengundi awal yang pada mulanya ditetapkan pada 13 Ogos.

Seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis.

Untuk rekod, PRK DUN Nenggiri adalah merupakan PRK pertama selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan ke-15.

Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas.

Kerusi DUN Nenggiri sebelum ini disandang Mohd Azizi Abu Naim daripada Bersatu namun keahliannya dalam parti itu telah digugurkan pada 13 Jun lepas. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit