UMNO Bahagian Tebrau Tekad Rampas DUN Puteri Wangsa – Abdul Halim
KUALA LUMPUR, 2 Ogos – UMNO Bahagian Tebrau bertekad untuk merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa yang kini diwakili oleh pihak pembangkang.
Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, beliau merasa bangga kerana Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendengar naluri akar umbi di bahagian tersebut ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tebrau pada Jumaat lalu.
“Untuk persidangan UMNO Bahagian Tebrau, saya merasa bangga kerana Presiden dapat mendengar naluri akar umbi untuk merampas semula kerusi DUN Puteri Wangsa yang pada ketika ini diwakili oleh pembangkang.
“Saya sendiri pernah menjadi wakil rakyat di DUN Puteri Wangsa ini selama dua penggal dan kemudiannya diganti dengan Pas, PPBM dan juga Muda. Mereka ini adalah orang-orang Melayu yang diberi mandat oleh rakyat. Walau bagaimanapun, kerusi tersebut adalah sebenarnya milik Barisan Nasional (BN) pada peringkat awal.
“Dalam perbincangan persetujuan awal dengan Pakatan Harapan (PH), mana-mana parti yang berada di kedudukan kedua akan mengambil kerusi tersebut dan saya yakin atas persetujuan Presiden, DUN Puteri Wangsa ini akan kita minta untuk diberikan semula kepada BN,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tebrau yang diadakan pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau turut melihat bahawa semua bahagian dan cawangan telah memberikan komitmen yang jitu dalam melunaskan tanggungjawab mereka untuk mengadakan persidangan.
“Sebenarnya kami (UMNO Bahagian Tebrau) telah lama mengimplementasikan penyatuan meskipun saya baru sahaja diberi mandat sebagai Ketua UMNO Bahagian pada pemilihan lalu. Saya melihat kerjasama jitu dari semua pihak dalam semua perkara yang diusahakan.
“Inilah keunikan sebenar UMNO. Walaupun ada pertandingan, tidak ada perpecahan. Sebaliknya, kami kembali bertaut dan memberi tumpuan kepada agenda untuk memperkukuhkan UMNO/BN kerana perjuangan kita adalah untuk orang Melayu demi masa depan negara.
“Seperti yang kita sedia maklum, 28 Julai adalah hari terakhir untuk melaksanakan persidangan bahagian. Setakat ini saya melihat kesemua bahagian dan cawangan telah memberikan komitmen yang jitu untuk melunaskannya demi tanggungjawab serta amanah sebagai ahli parti,” katanya lagi.
Untuk rekod, DUN Puteri Wangsa telah ditadbir oleh UMNO/BN selama dua penggal dari tahun 2004 sehingga 2013 dan kemudian diambil alih oleh Pas pada tahun 2013 sehingga 2018.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, PPBM telah merampas kerusi tersebut disusuli dengan Muda pada tahun 2022.
PRU ke-15 yang berlangsung pada November 2022 telah memperlihatkan calon Muda, Amira Aisya Abdul Aziz menang dengan majoriti sebanyak 7,114 manakala calon BN, Ng Yew Aik berada di kedudukan kedua dan memperoleh 15,770 undi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman