Tolak Sentimen Parti Malaya, Terimalah Hakikat UMNO/BN Yang Telah Majukan Sabah – Jeffery Nor

KOTA KINABALU, 2 Ogos – Pengarah Jentera Pilihan Raya Negeri Sabah, Jeffery Nor Mohamed mempertahankan kenyataan Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berhubung dengan kegagalan parti tempatan membangunkan Sabah malah menggesa agar sentimen Parti Malaya ditolak.

Beliau juga mengingatkan agar pemimpin-pemimpin lawan menghentikan sentiman ‘anti Parti Malaya’ yang dilihat boleh mencetuskan tahap keharmonian rakyat di negara ini dan bertentangan dengan konsep Kerajaan Perpaduan yang mana mereka turut menyokong.


“Terimalah hakikat kegagalan membangunkan Sabah hari ini adalah kerana kegagalan pemimpin mereka yang gagal merancang dan melaksanakan amanah yang diharapkan oleh rakyat. Inilah akibat kerana lebih berpolitik dari melaksanakan tugas dan tanggungjawab untuk membangunkan Sabah.”

Kata Jeffery Nor yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan, sejarah membuktikan Sabah pernah ditadbir oleh parti tempatan sejak zaman USNO, Berjaya dan PBS namun pembangunan masih jauh ketinggalan berbanding dengan negeri-negeri lain.

Menurut beliau antara sebab berlakunya perkara ini kerana tidak ada kestabilan politik selain iltizam para pemimpinnya membangunkan Sabah.

“Sehingga tahun 1990 apabila ada permintaan dari kalangan beberapa pemimpin tempatan untuk UMNO masuk ke Sabah dan apabila UMNO/Barisan Nasional (BN) mengambil alih tampuk pemerintahan Sabah, barulah kestabilan politik dapat diwujudkan dan pembangunan rancak dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanahairku (Star Sabah), Datuk Kenny Chua baru-baru ini yang mendakwa kegagalan bangunkan Sabah berpunca dari BN dan parti dari Malaya.

Menurut Kenny Chua dalam kenyataan medianya baru-baru ini, Sabah miskin kerana kekayaan dan haknya dirampas sejak enam dekad lalu oleh parti berpangkalan di Semenanjung dan kononnya kerajaan negeri hari ini mewarisi legasi yang menyedihkan.

Bidas Jeffrey Nor yang menolak dakwaan tersebut, sebaik sahaja UMNO/BN mengambilalih pemerintahan Sabah maka pembangunan untuk rakyat jauh lebih baik dari apa yang dilakukan oleh sebelumnya.

“Rakyat Sabah menyaksikan bagaimana UMNO/BN ketika memerintah negeri ini melaksanakan pembangunan begitu rancak, sekolah, unversiti, hospital dan Lebuhraya Pan Borneo adalah contoh jelas kemajuan mega yang dapat dibawa oleh semasa dalam pemerintahanya,” katanya.

Justeru tegas beliau, kenyataan menolak UMNO/BN seperti meludah ke langit dan cubaab menafikan realiti yang jelas terpapar dengan mewujudkan sentimen politik.

Jeffrey berkata, jangan bandingkan Sabah dan Sarawak kerana pemimpin parti tempatan Sarawak dapat menstabilkan politik mereka menyebabkan ekonomi kukuh dan politik stabil sehingga mereka mampu merancang dan melaksanakan pembangunan berbanding dengan parti tempatan di Sabah yang lebih mementingkan kepentingan politik peribadi daripada kepentingan rakyat. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.