PRK Peluang Untuk Kebajikan Rakyat Nenggiri Terbela, Pembangunan Kawasan Setempat

LIPIS, 2 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Kelantan Datuk Zawawi Othman berpandangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri sebagai peluang terbaik rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut untuk memperolehi manfaat pembangunan kepada kawasan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh berkata ini kerana agenda pembangunan sudah tentu akan ditumpu oleh kerajaan Pusat bagi memastikan rakyat mendapat pembelaan sewajarnya.

“Ini peluang keemasan payah orang Nenggiri nak cari bukan setakat kelebihan dimiliki calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani tetapi inilah peluang untuk mereka.

“Seperti mana yang ada pada orang DUN Galas peruntukkan daripada kerajaan Pusat, akan melimpah ruah kalau menang tapi kalau kalah sama seperti hari ini, kalau menang Pas tetap mereka juga jadi menteri besar dan juga kerajaan negeri.

“Kita boleh bercakap itu kepada pengundi atas pagar tetapi kalau kalah Pas menang BN maka akan ada suntikan-suntikan yang lebih kepada kawasan,” katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hashim; Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman dan Naib Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Mustapa Long.

Zawawi dalam itu berkata Mohd Azmawi dipilih kerana mempunyai kelebihan yang tersendiri sebagai pemimpin orang muda, bukan sahaja di Gua Musang malah di peringkat negeri.

Menurut beliau lagi, Mohd Azmawi yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan juga dilihat mempunyai pengalaman politik khususnya dalam membantu rakyat.

“Mohd Azmawi ini tokoh nombor satu untuk orang muda, kepada adik-adik muda ini kita kena cakap bila lagi kamu nak cari pemimpin daripada kalangan kamu dengan mempunyai pendidikan yang baik

“Maka kena tarik sokongan orang muda bahawa kelebihan calon BN yang ada ini adalah kerana umur dan jawatan sebagai ketua pemuda UMNO di Gua Musang dan juga ketua pemuda UMNO di negeri.

“Jadi kita kena tunjukkan keuntungan supaya rakyat boleh undi Mohd Azmawi,” ujar beliau.

Terdahulu, kerusi DUN itu diisytiharkan kosong oleh Speaker Kelantan, berikutan pemberhentian keahlian penyandangnya, Azizi Abu Naim, dalam PPBM pada 13 Jun lalu, selepas Ahli Parlimen Gua Musang itu berikrar menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada November tahun lalu.

SPR menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK DUN Nenggiri masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos, manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.