ADUN Mahkota Sharifah Azizah Meninggal Dunia, UMNO Rakam Takziah

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama kepimpinan dan ahli-ahli UMNO mengucapkan takziah kepada keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, yang meninggal dunia hari ini.

Pagi tadi, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri telah berkesempatan menziarahi Almarhumah yang ketika itu sedang menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang Johor.

“Di hari sayyidul ayyam ini, menerima berita duka perginya seorang srikandi Wanita UMNO Johor YB Dato’ Sharifah Azizah Syed Zain, ADUN Mahkota merangkap Exco Wanita UMNO Malaysia akibat pendarahan dalaman.

“Betapa dalam doa dan rintihan hati saya berharap agar beliau sembuh dan dapat meneruskan perjuangan bersama-sama. Namun, Allah SWT lebih menyayanginya. Kita kehilangan seorang pejuang wanita yang amat komited dan setia terhadap parti dan amat prihatin terhadap masyarakat,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Beliau juga mendoakan agar keluarga tabah berdepan dengan pemergian Allahyarhamah.

“Salam takziah buat seisi ahli keluarga, Moga tabah harungi kehilangan ini. Dan, marilah kita iringi pemergian Almarhumah di hari Jumaat yang indah ini dengan doa semoga beliau ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang solehah dan beroleh Jannah,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.