PRK Nenggiri: Keputusan Tepat, Calon UMNO/BN Tepati Citarasa Rakyat – Hafiz Ariffin

GUA MUSANG, 1 Ogos – Keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan UMNO/Barisan Nasional (BN) adalah tepat dan terbaik apabila memilih Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Hafiz Ariffin berkata Pemuda UMNO amat menghargai keputusan tersebut dan menepati semangat anak-anak muda.

“Keputusan yang dibuat pucuk pimpinan parti UMNO/BN adalah tepat dan menepati citarasa pengundi dengan memilih Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani pada PRK DUN Nenggiri. Ia menepati semangat yang hendak dibawa parti iaitu menonjolkan orang-orang muda selari dengan demografi pengundi yang ada sekarang.

“Kepercayaan yang diberikan oleh parti akan kita dukung sebaik-baiknya. Ia bukannya satu keputusan yang mudah oleh pucuk pimpinan membenarkan dan meletakkan calon daripada Pemuda UMNO walhal ada ramai lagi bakat-bakat yang boleh dipilih tetapi Azmawi menjadi pilihan kepimpinan serta mendapat sambutan dari masyarakat.

“Pemuda UMNO akan terus bekerja dan memberikan komitmen lebih 100 peratus untuk pastikan calon BN mendapat kemenangan apabila hari pengundi kelak,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Mengulas lanjut, kata Hafiz lagi, sekarang ini masa yang terbaik bagi rakyat Nenggiri memilih wakil rakyat yang paling layak iaitu Azmawi.

“Inilah saat-saat terbaik supaya rakyat Nenggiri memiliki wakil rakyat yang berkualiti, beri khidmat dan menyumbang bakti pada mereka.

“Azmawi adalah calon yang berbakat dan bersungguh-sungguh untuk menyumbang bakti dan kudratnya demi rakyat Nenggiri.

“Beliau merupakan seorang yang bergiat aktif dalam kebeliaan, mendekati anak-anak muda dan menyantuni orang-orang dewasa. Asalnya beliau adalah salah seorang penggerak belia, tapi bakatnya telah dicungkil UMNO seterusnya berkhidmat untuk parti. Beliau berbakat dan mampu merampas kerusi DUN Nenggiri, ” ujarnya.

Seterusnya kata Hafiz, Pemuda UMNO seluruh tanah air akan terus mengembleng tenaga memastikan kemenangan berpihak pada UMNO/BN.

“Pemuda UMNO Malaysia mengembleng seluruh tenaga dan pasukan yang ada di seluruh tanah air untuk membantu calon UMNO/BN menghadapi pilihan raya dan kepercayaan yang diberikan oleh parti akan didukung sebaik-baiknya,” ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Dun Nenggiri pada 17 Ogos depan, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan.

PRK Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lalu mengumumkan kekosongan kerusi selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian Bersatu apabila menyokong Kerajaan Perpaduan.

Pada PRN Ogos tahun lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi berbanding calon BN, Ab Aziz Yusoff yang memperoleh 5,707 undi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.