‘PPBM Ikut Kehendak Pas, Bukan Citarasa Pengundi’ – Puad

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menempelak tindakan PPBM yang mengetengahkan bekas pemimpin Pas sebagai calon mewakili PPBM pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Beliau berkata alasan untuk memenuhi kehendak pengundi adalah tidak boleh diterima.

“Memang mengarut bila Kamaruddin Mohd Nor Ketua PPBM Kelantan kata, tujuan pinjam ahli Pas jadi calon Bersatu ialah untuk penuhi citarasa pengundi.

“Itu bukan ikut cita rasa pengundi tapi cita rasa Pas,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Mohd Puad malah menyifatkan PPBM sebagai parti ciplak kerana sering kali menuruti sikap Pas.

Katanya ini termasuk apabila calon mewakili PPBM/PN, Mohd Rizwadi Ismail melafazkan ikrar dan sumpah laknat sebaik sahaja diberi tanggungjawab untuk mewakili gabungan itu.

“PPBM jadi parti ciplak kerana ikut telunjuk Pas. Sebab itu terikut ikut buat sumpah laknat.

“PPBM dari awal lagi tiada keaslian. Pemimpin utamanya asal dari UMNO. Nama, warna dan dasar parti semua ditiru daripada UMNO. Calon pun pinjam daripada Pas. Patut pinjam Annuar Musa,” sindir beliau.

Terdahulu, Mohd Rizwadi yang merupakan bekas timbalan ketua pemuda Pas Gua Musang itu melafazkan ikrar dan sumpah tersebut semasa majlis pengumuman calon di Masjid Hijau Renok pada Isnin.

Mohd Rizwadi juga dikatakan baru menyertai PPBM dua hari sebelum diumumkan sebagai calon. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.