Isu Sumbangan Arak: Kita Harus Ikut Garis Panduan KPM, Hormat Satu Sama Lain

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Kita seharusnya mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di samping menghormati antara satu sama lain dalam isu sumbangan syarikat arak kepada sekolah aliran cina.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, masih ada pihak yang mempertikaikan isu tersebut meskipun Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah memberikan maklum balas mengikut dasar KPM.

“Isu ini viral apabila syarikat jenama arak menguar-uarkan bahawa telah mereka telah menyumbangkan sejumlah wang berjumlah RM3 juta kepada sebuah sekolah aliran cina dalam majlis mencari dana.

“Isu ini mendapat respon pantas daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang telah berdasarkan pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2018 mengatakan bahawa penerimaan sumbangan untuk sekolah tidak boleh melibatkan hasil daripada aktiviti perjudian, rokok dan arak atau seumpama dengannya.

“Ada pihak dengan lantangnya mengatakan bahawa Fadhlina dah jadi jurucakap UMNO… Pas. Semalam, pihak tersebut dalam responnya mengatakan bahawa ibu bapa ataupun waris (khususnya untuk sekolah cina) sebenarnya tidak kisah untuk menerima dana daripada syarikat arak ataupun seumpama dengannya,”katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran video yang dimuatnaik di laman Facebooknya, hari ini.

Soalnya, adakah semua pihak turut mengiayakan dan menyokong segala pendirian yang telah dizahirkan oleh mereka mengenai isu ini.

“Kononnya ini adalah untuk survival sekolah. Saya nak bertanya dengan pihak demikian, apa yang mereka tidak berpuas hati dengan dasar kerajaan ini? Adakah mereka suka sekiranya anak-anak kita membesar dengan persepsi bahawa arak itu baik?

“Ataupun mereka ingat pendirian semua masyarakat dalam negara ini lebih kurang sama. Ataupun semua masyarakat cina dalam negara ini yang mementingkan pendidikan anak-anak setuju seratus peratus dengan pandangan mereka?” soalnya.

Mengulas lanjut, beliau turut mengharapkan semua pihak untuk menghormati antara satu sama lain memandangkan majoriti rakyat Malaysia adalah penganut agama Islam.

“Presiden Parti Gerakan, Dominic Lau pula dengan bangganya telah mengatakan bahawa tiada isu penerimaan dana daripada syarikat arak ini. Sekolah vernakular beliau pun ada menerima bantuan daripada syarikat arak ini.

“Walaupun beliau dengan bangganya mengatakan bahawa beliau juga minum arak tetapi tidaklah sehingga jadi pemabuk. Beliau kata anak-anaknya juga tidak jadi pemabuk. Jadi, tiada isu.

“Macam mana pun, kita sebagai negara yang majoriti penganutnya beragama Islam maka kita perlu menghormati antara satu sama lain. Selain itu, kita juga harus mengikuti segala dasar yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Jangan biarkan anak-anak kita dibesarkan dengan pengaruh yang tidak baik ini,” katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan Gerakan turut senada dengan Dap supaya syarikat berkaitan arak atau rokok tidak dihalang untuk memberi dana kepada sekolah aliran Cina.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau mendakwa, sekolah aliran Cina selama ini tidak diberikan dana mencukupi oleh kerajaan pusat untuk beroperasi.

Beliau berkata, segala fasiliti dan kemudahan yang disifatkan terbaik yang dimiliki sekolah aliran Cina ketika ini adalah hasil sumbangan dana pihak luar bukan saja daripada syarikat besar, malah golongan peniaga kecil dan penjaja.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menolak pengecualian untuk pematuhan garis panduan yang melarang sekolah menerima dana yang dijana daripada penjualan produk tembakau dan minuman beralkohol.

Beliau berkata walaupun semua sumbangan dialu-alukan, namun ia mesti mengikut garis panduan kementerian. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.