Ini Masa Untuk Perkukuh UMNO, Kembalikan Keyakinan Rakyat – Mohd Youzaimi
MERSING, 31 Julai – Ketua UMNO Bahagian Mersing, Mohd Youzaimi Yusof mengingatkan para pemimpin dan akar umbi untuk menggunakan masa yang ada ini bagi menstabidan memperkukuh parti demi mengembalikan keyakinan rakyat.
Tegasnya, sejak ditubuhkan pada tahun 1946, landas perjuangan UMNO masih sama iaitu memperjuangkan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera serta menjaga kedaulatan agama Islam.
“Selepas ditubuhkan pada 11 Mei 1946 di Istana Johor, UMNO sentiasa memperjuangkan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera serta menjaga kedaulatan agama Islam di samping mempertahankan raja-raja Melayu berlandaskan perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
“Semasa parti kita kalah pada awal-awal dahulu, saya bersama rakan-rakan yang ada sekarang inilah menerajui UMNO Mersing. Dalam keadaan ditinggalkan oleh mereka yang telah menerima banyak nikmat daripada UMNO.
“Begitu juga dengan Presiden UMNO yang mengemudi parti di peingkat pusat semasa parti tidak menjadi kerajaan. Penuh dugaan dan cabaran sehinggakan diugut dengan pelbagai ugutan. Diminta untuk bubarkan UMNO dan sertai PPBM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena Majis Perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Mersing, pada Sabtu.
Menurutnya, disebabkan kebijaksanaan para pemimpin UMNO mengemudi parti, pada akhirnya ia berjaya menjadi kerajaan bersama rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.
“Disebabkan keengganan beliau berbuat demikian (membubarkan UMNO) maka banyaklah pendakwaan terpilih dikenakan ketika zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0 yang lalu. Beliau sanggup mengorbankan dirinya kerana menerima ancaman politik sehingga didakwa dengan banyak tuduhan tetapi masih memilih untuk mempertahankan dan terus membela UMNO ini.
“Begitu juga dengan masa sekarang ini. Apabila telah ditakdirkan Allah pada PRU ke-15 lalu kita kalah dan Barisan Nasional (BN) mempunyai 30 kerusi sahaja, alhamdulilah kita dapat menjadi kerajaan bersama Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut menasihatkan para pemimpin dan akar umbi untuk kembali berpadu serta menjadi peneraju kepada penyatuan orang Melayu di negara ini.
“Pada masa kini adalah terbaik untuk kita bincangkan bagaimana untuk menstabilkan semula kedudukan parti ini. Bagaimana cara untuk kita dapatkan semula keyakinan rakyat. Sepatutnya kita bincang hal-hal penyatuan Melayu bermula daripada parti kita.
“Bukannya asyik fikir nak bertanding, berlawan dan bergasak. Saya yakin apabila ada pertandingan, pasti ada perpecahan. Sampai bila-bila pun orang Melayu tidak boleh bersatu-padu. Kenapa tidak kita mencadangkan supaya Presiden kita mengetuai penyatuan umat Melayu di negara ini dan parti UMNO yang akan menjadi penerajunya.
“UMNO sahaja yang berpengalaman tentang penyatuan umat Melayu mengikut sejarah lalu. Kita sebenarnya sudah tidak boleh bercakaran dan menyalahkan di antara satu sama lain. Bercerai-berai sehingga tumbuhnya parti politik serpihan yang lain. Akhirnya yang rugi adalah orang Melayu sendiri,” katanya lagi.
Terdahulu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah hadir bagi merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Mersing, pada Sabtu lalu.
Turut hadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Manndzri Nasib, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Johor, Rina Farhana Abdullah dan barisan kepimpinan bahagian empat peringkat. – UMNO Online