TPM, Menteri Kabinet Ucap Selamat Hari Pahlawan

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Barisan Jemaah Menteri dalam hantaran menerusi media sosial masing-masing hari ini mengambil kesempatan mengucapkan selamat Hari Pahlawan kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas pengorbanan besar mereka menjaga kesejahteraan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jasa dan pengorbanan para pahlawan yang telah berjuang demi agama, bangsa dan negara dikenang pada hari yang penuh bermakna ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pahlawan-pahlawan negara sentiasa di hati dan semangat perjuangan mereka tidak pernah terhakis sehingga hari ini.

“Keberanian dan ketabahanmu jualah menjadi inspirasi kepada generasi kini untuk terus mempertahankan kedaulatan negara tercinta. Terima kasih perajurit negara atas jasa dan bakti yang telah dicurahkan.

“Marilah juga kita bersama-sama mendoakan mereka yang telah gugur di medan perjuangan, berjuang untuk tanah air ini. Al-Fatihah. Terima kasih wira-wira negara!” katanya menerusi hantaran Facebook.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pula mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga ATM dan PDRM kerana nikmat keamanan yang dikecapi sekarang ialah hasil perjuangan perajurit yang berkorban nyawa demi negara tercinta.

“Kerana titis keringat dan pengorbanan kalianlah, maka semua warga Malaysia yang berbilang bangsa dan agama dapat menikmati keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran seperti hari ini.

“Sesungguhnya, jerih perih dan pengorbanan para pejuang, sama ada yang telah terkorban, mahupun yang masih setia berkhidmat, telah membentuk keamanan Malaysia sehingga hari ini. Terima kasih wira dan wirawati negara. Semoga ALLAH SWT membalas jasa kalian semua,” kata Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sambutan Hari Pahlawan yang diadakan pada 31 Julai setiap tahun ialah satu bentuk penghormatan kepada seluruh warga ATM dan PDRM.

Mohamed Khaled berkata, dedikasi, keberanian dan pengorbanan wira dan wirawati negara ini telah membolehkan kedaulatan dan keselamatan negara terus terpelihara.

“Mewakili Kementerian Pertahanan dan seluruh rakyat Malaysia, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas jasa dan pengorbanan para wira dan pasukan keselamatan kita dalam menegakkan maruah agama, bangsa dan kedaulatan tanah air.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita juga mempunyai peranan tersendiri. Kedaulatan negara adalah satu usaha dan tanggungjawab kolektif seluruh rakyat Malaysia. Kita mesti bersama-sama menjayakan pendekatan WoGoS (Whole of Government, Whole of Society) yang menuntut semua pihak untuk menyumbang ke arah memelihara kedaulatan negara,” katanya.

Beliau turut mengajak semua pihak untuk bersama-sama menitipkan doa dan ingatan kepada wira-wira yang telah meninggal dunia.

Turut senada, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menzahirkan penghargaan tidak berbelah bahagi atas sumbangan dan pengorbanan yang dicurahkan oleh semua anggota pasukan keselamatan dalam melindungi keamanan dan kedaulatan tanah air selama ini.

“Jasa dan pengorbanan para pejuang harus kita kenang selama-lamanya. Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah buat semua pejuang negara yang telah pergi meninggalkan kita,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa pula berkata, sumbangan warga ATM dan PDRM tidak ternilai kepada negara dalam melindungi kedaulatan serta keselamatan Malaysia tercinta.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkongsi pantun bersempena dengan sambutan Hari Pahlawan.

“Helang terbang tinggi di awan,
Singgah di pokok di tengah taman,
Berkat berani para pahlawan,
Hidup selesa negara aman.
Selamat Hari Pahlawan buat semua pejuang negara. Jasamu tetap dikenang ke akhir zaman,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berharap agar semua pihak dapat mengambil semangat para wira negara dalam memastikan keamanan dan kedaulatan negara terpelihara dengan menjaga tulisan dan perkongsian kandungan melalui media sosial.

“Pada zaman digital ini, kita sememangnya hidup tanpa sempadan, namun biarlah dengan rasa penuh tanggungjawab,” katanya. – Bernama

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.