Semangat Jentera UMNO/BN Luar Biasa, Terus Fokus Tawan Nenggiri – Dr Asyraf Wajdi

GUA MUSANG, 31 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata semangat dan komitmen jentera UMNO/Barisan Nasional (BN) sungguh tinggi untuk raih kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Katanya, paling penting gerak kerja jentera BN yang luar biasa dapat mempengaruhi pengundi DUN Nenggiri ini.

“Semangat jentera BN sungguh tinggi dan paling penting bagaimana hendak menterjemahkan ke dalam gerak kerja, komitmen luar biasa daripada jentera tempatan, jentera bahagian-bahagian angkat dan juga jentera dari negeri luar.

“Kita harus fokus pada kawasan-kawasan tumpuan yang diberikan amanah pada jentera dan paling penting tidak ada satu rumah yang tertinggal dan pastikan semua rumah dan pengundi harus didekati dan masa yang ada harus dimanfaatkan sebaiknya.

“Saya melihat perkembangannya cukup positif kerana calon BN adalah calon yang dikenal dan tidak asing lagi di Nenggiri. Paling penting jangan pilih kerana parti semata-mata tapi pilih kerana tubuh calon yang amat baik sekali ditampilkan oleh BN,” katanya ketika bertemu masyarakat di Rumah KOSPEN Jeram Tekoh, Nenggiri, Gua Musang. 

Beliau yang juga Pengerusi Mara turut menasihati pengundi-pengundi DUN Nenggiri agar memilih wakil rakyat yang benar-benar berkhidmat dan bukannya sekadar tabur janji palsu.

“Kita hendak memilih wakil rakyat yang dapat berkhidmat selepas 17 Ogos nanti dan bukannya datang hanya menabur janji-janji palsu tetapi hanya datang sewaktu masa kempen sahaja. Akhirnya selepas 17 Ogos nanti yang perlu ada adalah wakil rakyat yang benar-benar dapat meneruskan khidmat bakti, menjadi antara jambatan rakyat dan Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.

Seterusnya kata Dr Asyraf lagi, penerimaan calon BN di DUN Nenggiri ini adalah dari pimpinan UMNO Bahagian Gua Musang, DUN, cawangan dan juga jentera-jentera amat positif.

“Ini sungguh menakjubkan dan tidak ada masalah yang timbul bahkan mendapat sokongan dan dukungan yang padu dari pelbagai pihak malah ini adalah satu perkembangan yang amat positif.

“Ia juga menjadi satu motivasi pada jentera-jentera BN apabila menampilkan calon BN, seorang anak muda yang tampan, berpendidikan, orang tempatan, lahir dan membesar serta berkhidmat di Nenggiri dan pakej hampir sempurna.

“Paling penting pakej yang lengkap dan ditawarkan pada rakyat Nenggiri serta boleh jadi jambatan dan penghubung bukan saja program-program yang bermanfaat, membantu kepentingan rakyat dan masalah-masalah yang dihadapi dapat diselesaikan oleh calon BN, memahami denyut nadi dan suara nurani hati rakyat tempatan,” jelasnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 3 Ogos manakala undi awal ditetapkan pada 13 Ogos dan hari mengundi pada 17 Ogos. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit