Rakyat Nenggiri Punya Semangat Kekeluargaan Tinggi, Tolak Politik Kebencian Dibawa PN/Pas – Syahbuddin

LIPIS, 31 Julai – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hashim berkata masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri mempunyai semangat kekeluargaan yang tinggi dan berpegang kepada politik lingkungan kesederhanaan.

Beliau yang juga ADUN Galas berkata, ini berbeza dengan politik kebencian yang dibawa Perikatan Nasional (PN) terutama Pas apabila sudah mula membawa naratif fitnah menjelang PRK Nenggiri, yang kempennya bakal berlangsung berbaki beberapa hari lagi.

“Nenggiri ini suasana kekeluargaan tidak ada ada politik hentam menghentam, tiada politik kebencian sebab ia kampung, politik dalam lingkungan kesederhanaan

“Walaupun baru-baru ini pelancaran jentera pemuda PN, sudah bermula perangai Pas dengan fitnah berpisah tiada, melagakan di antara Tengku Razaleigh Hamzah dengan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Antara yang disebut saya bercium tangan dengan presiden tapi katanya presiden tak hormat pun Ku Li, ikut saya la nak cium tangan siapa pun, mu pun cium tangan presiden mu jugak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program #HitamPutihKelabu yang diadakan sempena Kursus Pengukuhan Komunikasi Penerangan UMNO Peringkat Kelantan di Lipis.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Mustapa Long dan Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman

Syahbuddin dalam pada itu berkata kemenangan pada PRK ini amat penting kepada UMNO/BN dalam menebus kekalahan Kerajaan Perpaduan pada PRK Sungai Bakap lalu.

Untuk itu beliau berharap kerjasama yang baik daripada jentera UMNO/BN dalam melaksanakan gerak kerja terbaik bagi menghadapi pilihan raya ini.

Dalam pada itu, baginya jentera Penerangan UMNO memainkan peranan penting sebagai barisan hadapan bagi memastikan kemenangan calon UMNO/BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

“Kita tahu PRK ini bukan sekadar kemenangan untuk Mohd Azmawi, bukan juga soal BN Gua Musang tetapi ini lebih melibatkan maruah BN Malaysia dan UMNO Malaysia.

“Kekalahan baru-baru ini di Sungai Bakap apabila calon Kerajaan Perpaduan tersungkur dan gagal, jadi di Nenggiri ini maruah kepada UMNO.

“Penerangan mesti duduk barisan hadapan dan bila disebut itu ini merupakan langkah penting kerana PRK ini maruah kepada UMNO,” ujar beliau.

Terdahulu, kerusi itu diisytiharkan kosong oleh Speaker DUN Kelantan, berikutan pemberhentian keahlian penyandangnya, Azizi Abu Naim, dalam PPBM pada 13 Jun lalu, selepas Ahli Parlimen Gua Musang itu berikrar menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada November tahun lalu.

SPR menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK DUN Nenggiri masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos, manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit