PRK Nenggiri: Peluang UMNO/BN Kembalikan Maruah Dan Sokongan Rakyat – Saifullah Ali

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menjadi medan yang cukup penting bagi UMNO/Barisan Nasional (BN) untuk mengembalikan maruah parti yang telah banyak berjasa kepada negara dan rakyat, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Muhammad Saifullah Ali.

Jelas beliau, kepentingan PRK DUN Nenggiri tidak boleh dipandang enteng dan akan menjadi penanda aras penting bagi UMNO untuk membuktikan kemampuan mereka dalam menghadapi cabaran politik semasa.

“PRK DUN Nenggiri adalah peluang keemasan bagi UMNO/BN untuk membuktikan bahawa parti ini masih relevan dan mampu membawa perubahan serta mengubah positif kepada rakyat.

“Dengan calon yang tepat, strategi yang berkesan serta komitmen untuk berkhidmat kepada rakyat, UMNO/BN berpeluang untuk mengembalikan maruah parti dan menarik semula sokongan rakyat. Ini bukan sahaja penting untuk kelangsungan politik UMNO, tetapi juga untuk memastikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat Kelantan.

“Calon yang diketengahkan oleh UMNO dalam PRK DUN Nenggiri kali ini adalah pemimpin muda yang selari dengan transformasi politik yang disarankan oleh Presiden UMNO. Menurut data dari Pusat Penyelidikan Kepimpinan (CFL), 60 peratus rakyat Malaysia menyokong peningkatan penglibatan pemimpin muda dalam politik,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Katanya, langkah ini bukan sahaja mencerminkan adaptasi UMNO kepada perubahan zaman, tetapi juga menunjukkan komitmen mereka untuk menyediakan peluang kepada generasi baharu. 

Mengulas lanjut, Saifullah yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Puteh menjelaskan sejak beberapa dekad lalu, UMNO telah menjadi tulang belakang kepada pembangunan negara, menyumbang kepada kestabilan politik dan ekonomi, namun pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 menyaksikan tewasnya BN sekaligus memberikan laluan kepada parti lain untuk mengambil alih.

“Sejak kekalahan BN, ia memerlukan kehadiran ahli DUN yang berfungsi sebagai pembangkang yang efektif. Ini penting untuk memastikan semak dan imbang dalam sidang DUN.

“Laporan Transparency International Malaysia (TI-M) menunjukkan bahawa 54 peratus rakyat Kelantan tidak menyedari penyalahan gunakuasa yang berlaku selepas mandat diberikan kepada parti yang memerintah. Oleh itu, kemenangan di DUN Nenggiri penting untuk memastikan pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab,” katanya lagi.

Pada masa yang sama kata Saifullah lagi, data dari Institut Darul Ehsan (IDE) menunjukkan bahawa 45 peratus pengundi muda masih berpendirian neutral atau tidak pasti terhadap sokongan mereka kepada UMNO.

“Dengan kempen yang berkesan dan calon yang tepat, UMNO berpeluang untuk menarik semula sokongan golongan ini dan membuktikan bahawa mereka masih relevan dalam landskap politik semasa.

“Kemenangan di DUN Nenggiri akan menjadi jambatan penting dalam menyalurkan bantuan pembangunan kepada rakyat Kelantan bagi pihak kerajaan persekutuan. Namun, tanpa wakil yang kuat di DUN, penyaluran bantuan ini seringkali tidak sampai ke golongan yang memerlukan,” jelasnya lagi.

Oleh itu, kemenangan di DUN Nenggiri akan memastikan bahawa bantuan dan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit