Politik Gaya Baharu PN, Calon PRK Dari Parti ‘Pastu’… Lompat Ke PPBM Daripada Pas – Gulam Muszaffar

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim menyifatkan Perikatan Nasional (PN) sengaja mahu mempermainkan rakyat apabila membuat helah baharu yang dinamakan politik gaya baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Neggiri.

Beliau berkata demikian ekoran PN yang menamakan ahli PPBM, Mohd Rizwadi Ismail iaitu bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang sebagai calon yang akan bertanding mewakili gabungan itu pada PRK ini.

Menempelak tindakan itu, Gulam Muszaffar berkata mereka sepatutnya menubuhkan parti baharu yang boleh diberi nama sebagai PASTU iaitu gabungan akronim antara Pas dan PPBM.

“Calon daripada PPBM tetapi yang bertanding adalah bekas ahli Pas. Bukankah Pas dan PPBM adalah rakan komponen PN. Kalau begitu baik tubuh parti baru yang bernama’PASTU’ yang mana kedua-dua ahli parti boleh bergabung untuk menjadi calon pilihan raya kelak.

“Oleh itu ahli-ahli Pas dan PPBM tak perlu nak bersusah-payah lompat parti untuk ‘menghalalkan’ cara dan menjadi calon palsu dan bersifat berpura-pura dengan ahli parti masing-masing.

“Sebab memang kita tahu Pas dan PPBM masing-masing ketegaq (degil) ingin meletakkan calon bertanding. Jadi untuk ambil jalan mudah untuk tenangkan penyokong masing-masing ambil calon dari ahli PAS tetapi lompat ke PPBM. Saya namakan ini lompat politik gaya baru,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu menjangkakan bahawa pada masa akan datang Pas dan PPBM akan gunakan kaedah ini sekiranya menemui jalan buntu untuk menentukan calon pada pilihan raya akan datang.

“Mungkin lepas ini akan ada calon PASKAN (Pas + Gerakan), calon BERSAKAN (PPBM + Gerakan) yang mana ahli Gerakan juga boleh lompat parti masuk Pas atau PPBM untuk atau ahli Pas dan PPBM masuk Gerakan untuk menjadi calon. Asalkan boleh sahaja PN ini.

“Sekali lagi PN ni buat politik tipu-tipu, hari tu umumkan DUN Rembia dah jadi Ahli PAS setahun yang lepas, sekarang Ahli PAS lompat parti ke Bersatu 2 hari sebelum dan menjadi calon DUN Nenggiri.

“Bak kata Tan Sri P Ramlee seperti dalam cerita Ali Baba Bujang Lapok dengan 40 orang penyamun, dalam hidup boleh tipu orang sebanyak tiga kali sahaja. Dua kali tipu kita dah tahu, kini tunggu yang terakhir sebab rakyat bukan bodoh dan dangkal dengan cara politik tipu-tipu PN,” sindir beliau.

Untuk rekod, PRK ini dilakukan berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian PPBM pada 13 Jun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.