Pemergian Ismail Haniyeh… Kehilangan Besar Dunia Islam – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pemergian Ketua Hamas, Ismail Haniyeh merupakan kehilangan besar buat dunia Islam.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan bahawa Haniyeh sentiasa memberikan nasihat dan semangat kepadanya untuk terus memberi sumbangan tidak mengira masa.

“Tiada kata yang dapat menggambarkan kesedihan hati saya hari ini apabila menerima perkhabaran perginya seorang sahabat, pemimpin dan pejuang Ismail Hamiyeh, Ketua Hamas dan pengawal peribadinya yang gugur syahid dalam serangan di Tehran, Iran.

“Setiap kali beliau hadir ke sini, mesti kami berjumpa dan berkongsi kisah suka duka perjuangan membebaskan Palestin. Sosok tubuh inilah yang banyak memberikan nasihat dan semangat untuk saya terus membantu dan menyumbang di saat kalah ataupun menang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut berdoa agar Allah SWT menempatkan roh Ismail dalam kalangan para syuhada yang beroleh syurga tanpa hisab.

“Kehilangan besar buat dunia Islam, namun, semangat beliau berjuang tidak akan pudar dan kehilangan ini pastinya membangkitkan gelora perjuangan generasi penerus agar keadilan dan kebebasan dapat dicapai oleh rakyat Palestin.

“Semoga Allah SWT menempatkan mereka dalam kalangan para syuhada yang beroleh jannah-Nya tanpa hisab.

“Berehatlah sahabat. Hilangkanlah lelah dan penat. Kehilanganmu pasti menjadi pembakar semangat. Gugurmu melahirkan jutaan mujahid umat. Sehingga tercapai matlamat. Palestin bebas, merdeka dan berdaulat. Allahuakbar!” katanya lagi.

Ketua politik pasukan pejuang Palestin Hamas, Ismail Haniyeh dilaporkan dibunuh di ibu negara Iran, Tehran, lapor media antarabangsa sebentar tadi.

Pimpinan Hamas dalam satu kenyataan yang dikeluarkan mengesahkan Haniyeh dibunuh dalam satu serangan rejim Zionis di kediaman beliau di Tehran.

Sementara itu, Al Jazeera melaporkan pengawal Revolusi Iran memaklumkan, Haniyeh terbunuh bersama seorang pengawal peribadinya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.