PADU Wajar Dimanfaatkan Bantu Rakyat Yang Layak Terima Bantuan – Azhar

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Cakna dengan nasib rakyat yang kurang bernasib baik mendorong Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr Azhar Ahmad untuk bertanya kepada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkenaan sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Menurut beliau, PADU ini penting bagi memastikan rakyat yang berkelayakan mendapat bantuan sewajarnya daripada kerajaan.

“PADU telah dilancarkan oleh Perdana Menteri pada Januari lalu mendapat sambutan yang baik apabila lebih kurang 58.7 peratus rakyat yang mendaftar dengan sistem PADU ini.

“Kalau dari segi angkanya, lebih kurang 17 juta lebih yang telah mendaftar soalannya, apakah rancangan kerajaan bagi membantu mereka yang telah mendaftar ini?

“… yang layak dibantu bagi memastikan mereka terkeluar daripada bebanan hidup buat waktu ini,” katanya.

Azhar yang juga Ketua UMNO Bahagian Beruas berkata demikian pada sesi persidangan Dewan Negara, pada Isnin.

Menjawab kepada persoalan itu, Rafizi berkata PADU dibangunkan untuk memastikan bahawa penentuan kelayakan penerimaan bantuan itu tidak semata-mata berdasarkan satu garis pendapatan nasional.

Sebaliknya kata beliau ia mengambil kira tentang kedudukan dan kos sara hidup mengikut daerah-daerah, tanggungan keluarga dan mengambil kira perbelanjaan untuk menjalani kehidupan yang wajar.

“PADU dibangunkan oleh kerajaan untuk memastikan ada satu pangkalan data utama yang bersepadu yang mengambil semua data daripada agensi-agensi kerajaan untuk memberikan gambaran yang lengkap tentang kedudukan sosioekonomi sesebuah isi rumah.

“Konsep-konsep ini telah dibangunkan dan penentuan keluarga-keluarga itu telah pun tersedia di dalam PADU,” ujar beliua.

Beliau dalam pada itu berkata untuk tempoh masa yang akan datang PADU akan dimanfaatkan bagi semakan untuk bantuan-bantuan lain.

“Kita boleh mengenal pasti terus penerima-penerima seperti ini yang wajar ditawarkan dan ini akan membolehkan pendekatan kerajaan berubah secara berfasa daripada sebelum ini

“… yang mana setiap program yang dibangunkan oleh kerajaan untuk rakyat itu telahpun dikenal pasti dan disesuaikan terus dengan penerima-penerima yang memang kita sedia malam ada di dalam PADU.

“Insya-Allah kali ini akan berlaku secara berfasa dan bergantung kepada keputusan kerajaan mengenai setiap program-program rakyat yang dibangunkan oleh kementerian-kementerian,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.