PRK Nenggiri: Pilih UMNO/BN, Peluang Terbaik Wujudkan Kerajaan Seimbang – Fadini Rahim

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd Fadini Rahim berkata peluang untuk rakyat memilih calon UMNO/Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani demi memastikan wujudnya ‘check and balance’ dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan amat penting. 

Menurutnya, keupayaan orang muda untuk mendekati dan memahami keperluan masyarakat setempat menjadikan mereka aset penting dalam proses pembangunan negeri termasuk bagi menjamin pentadbiran yang lebih telus dan berkesan.

“Orang muda diiktiraf kerana segar dengan idea, sihat tubuh badan, dan sering turun padang untuk berjumpa dengan rakyat. Mereka membawa semangat dan inovasi yang diperlukan untuk memacu kemajuan negeri.

“UMNO/BN di Nenggiri dilihat sebagai peluang untuk menjadi perantara kepada kerajaan pusat dan negeri. Ini akan memudahkan proses perbincangan dan pelaksanaan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada rakyat Kelantan.

“Jika BN berjaya di Nenggiri, mereka dapat memainkan peranan penting dalam memastikan kerjasama yang lebih erat antara kerajaan pusat dan negeri, seterusnya membawa lebih banyak pembangunan dan kemajuan untuk rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Fadini yang juga Pemuda UMNO Bahagian Kemaman berkata keberadaan UMNO/BN di DUN Nenggiri juga diharapkan dapat menyuarakan isu-isu rakyat dengan lebih efektif termasuk dalam bidang-bidang seperti pendidikan, kesihatan, dan infrastruktur.

“Dengan pendekatan yang lebih inklusif, ia dapat melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dalam proses pembangunan. Ini penting untuk memastikan setiap suara didengar dan diambil kira.

“Sokongan penuh dari kerajaan pusat dapat membawa projek-projek pembangunan yang besar dan bermanfaat untuk masyarakat setempat,” katanya lagi.

Tegasnya, pilihan raya ini adalah peluang terbaik untuk rakyat Kelantan menentukan hala tuju masa depan negeri mereka. Dengan memilih calon UMNO/BN, mereka akan memilih masa depan yang lebih cerah dan berdaya maju.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos depan, manakala 17 Ogos pula hari pengundian

Tempoh berkempen adalah selama 14 hari bermula penamaan calon sehingga jam 11.59 malam 16 Ogos. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit