Pra-Tahfiz, TVET Antara Contoh Terdekat Bagaimana UMNO/BN Berfungsi Dalam Kerajaan Madani
KUALA LUMPUR, 30 Julai – UMNO/Barisan Nasional (BN) dilihat memainkan peranan yang tersendiri di dalam Kerajaan Perpaduan hari ini malah dengan rakan-rakan gabungan yang lain segala perancangan untuk rakyat terus menjadi keutamaan dan dilaksanakan sebaiknya.
Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata begitu jugalah jawapan kepada tuduhan dan fitnah bahawa UMNO tidak lagi memperjuangkan kepentingan Melayu, Bumiputera, dan syariat Islam yang mana sebenarnya tidak wujud, kerana realiti adalah sebaliknya.
Menurut beliau umumnya masing-masing dapat melihat bahawa banyak usaha dan program yang dilaksanakan oleh UMNO dan Kerajaan Madani untuk memperbaiki dan membantu Bumiputera Melayu serta meningkatkan Syariat Islam di negara ini.
“Program TVET, Pra Tahfiz Tabika KEMAS, dan pengenalan silibus Hadith 40 Imam Al-Nawawi baru-baru ini di sekolah rendah adalah contoh-contoh jelas bagaimana UMNO dan Kerajaan Madani komited dalam memperkasa pendidikan dan agama.
“Program-program ini bukan sahaja memberi peluang kepada golongan yang tidak cemerlang dalam akademik untuk berjaya melalui kemahiran teknikal, tetapi juga mendidik generasi muda dengan ilmu agama yang kukuh,” katanya.
Kata beliau lagi Pra Tahfiz adalah contoh terdekat bagaimana usaha-usaha untuk memperkasakan kanak-kanak di awal usia dengan Al-Quran dan bukankah ianya dicetuskan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
“Kita tengok program di bawah kerajaan hari ini bukan sahaja dapat mengekalkan program-program untuk meningkatkan syariat Islam malah juga terdapat program-program baru sebagaimana contoh di atas.
“Ini antara sebahagian beberapa contoh yang mana kita boleh menangkis serangan yang dibuat oleh mereka untuk mewujudkan persepsi kononnya Kerajaan Madani tidak lagi menjaga kepentingan Melayu, tidak jaga kepentingan Islam ataupun tidak jaga kepentingan Bumiputera. Begitu jugalah dengan program TVET yang mana bukankah untuk kepentingan pelajar seluruhnya,” tambah beliau. – UMNO Online