Perjalanan UMNO Sabah Jadi Inspirasi Teruskan Perjuangan – Jeffery Nor

KUALA LUMPUR, 30 Julai – UMNO Sabah telah melalui perjalanan politik yang berliku malah pada satu-satu masa dianggap bakal berkubur lantaran sebahagian kepimpinan bahagian meninggalkan parti.

Pengarah Jentera Pilihan Raya Negeri Sabah, Jeffery Nor Mohamed berkata, sejarah perjuangan UMNO Sabah mendepani pelbagai liku dan cabaran lantas mengembalikan keyakinan anggota parti untuk memperteguh UMNO di negeri itu sebagaimana hari ini adalah satu perjalanan yang amat berharga.

“Di peringkat nasional, sejarah perjuangan kami di Sabah dengan idea-idea baharu serta pandangan-pandangan mengenai masa depan UMNO adalah sesuatu yang amat berbeza tetapi ia dapat dikongsi bersama dalam misi untuk sama-sama memperkasakan parti,” katanya.

Terdahulu beliau telah berkesempatan merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Puchong pada Ahad yang diketuai oleh Datuk Mohd Satim Diman.

Jelas Jeffery Nor, apabila Barisan Nasional (BN) menerima kekalahan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun 2018, ujian getir bermula.

“Pada 2018 mula-mula pimpinan masih bersama-sama parti tetapi apabila masuk 2019, ramai pemimpin UMNO Sabah yang sudah lari masuk ke parti lawan, dan saya juga di UMNO Putatan ditinggalkan oleh ketua bahagian dan timbalannya. Ketika itu cukup susah, malah mesyuarat bahagian pada tahun 2019 hanya diadakan di kantin kerana keadaan amat perit.

“Sebelum itu semasa zaman BN gemilang kalau nak jadi ketua bahagian maka persepsinya mesti duit banyak, tetapi saya percaya dan yakin kalau perjuangan kita demi agama, bangsa dan negara dilaksana dengan ikhlas maka Allah SWT akan menjaga kita,” katanya yang menelusuri perjalanan UMNO Sabah selepas PRU ke-14 hingga kini.

Kata Jeffery Nor yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan, peluang merasmikan mesyuarat UMNO bahagian di luar dari negeri Sabah amat dihargai kerana dapat berkongsi pengalaman yang berbeza.

“Alhamdulillah saya dapat memenuhi jemputan bagi merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Puchong dan berkongsi pelbagai pandangan.

“Inilah dinamika baharu dalam meneruskan perjuangan parti,” katanya.

Justeru, beliau melahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada UMNO Bahagian Puchong yang memilih beliau sebagai perasmi mesyuarat selain menzahirkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang telah membuka ruang untuk merealisasikan perasmian terbabit.

“Saya juga ucapkan terima kasih kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan juga Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang merestui dan memberi peluang ini untuk satu lagi perjalanan perjuangan politik.”

Turut hadir mengiringi beliau dalam persidangan tersebut ialah Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat; Ketua UMNO Bahagian Pensiangan, Busiau Ampirak; Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin dan Ketua UMNO Bahagian Keningau, Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.