Kukuhkan Keberadaan UMNO, Hari Ini Adalah Pilihan Terbaik – Azleen

PASIR GUDANG, 30 Julai – Ketua Pemuda UMNO Johor, Azleen Ambros berkata pilihan terbaik parti berkenaan pada hari ini adalah mengukuhkan keberadaannya bersama kerajaan yang ada hari ini dalam usaha memastikan UMMNO terus mengorak langkah ke depan.

Menurut beliau dalam senario semasa, semua pihak perlu melihat jauh ke depan dan bukannya mengambil sikap terburu-buru yang akhirnya boleh merugikan parti.

“Kita dalam Kerajaan Perpaduan. Jadi, sementara kita tengah ada kuasa ni takkanlah kita nak buat keputusan terburu-buru dan tidak melihat kepada konteks yang lebih besar iaitu yang mungkin akan menyebabkan bukan sahaja kerajaan pusat akan runtuh, tapi UMNO itu sendiri mungkin akan berada dalam keadaan yang rumit walaupun kita tahu memang situasi dan cabarannya jauh berbeza. Sebab itulah UMNO perlu untuk betul-betul melihat apa yang harus dibuat pada hari ini.

“Sebab itu apa yang disebutkan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Khaled Nordin semasa ucapan perasmian Mesyuarat UMNO Pasir Gudang tepat sekali iaitu tentang soal apa yang sedang dibuat UMNO. Ini adalah jajaran politik, tanpa kita sesekali mempertikaikan ataupun memperjudikan jajaran nilai dan juga prinsip kita sebagai sebuah parti,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang bersama perwakilan yang lain mendengar amanat daripada Ketua UMNO bahagian berkenaan yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada majlis perasmian mesyuarat UMNO bahagian tersebut pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama beliau turut berpandangan semua pihak perlu memainkan peranan tersendiri dalam usaha mengukuhkan parti hari ini.

“Kita sendiri pun setiap ahli ada peranan dan juga ada tanggungjawab iaitu supaya akhirnya UMNO itu boleh diperkuatkan kerana kita ada tanggungjawab untuk bina satu persatu kekuatan UMNO yang sebenar, supaya akhirnya bila sampai satu masa kita kembali mendominasi politik negara seperti sebelum ini.

“Kita juga pada masa yang sama janganlah terbelenggu dengan permainan persepsi yang cuba dimainkan oleh pihak lawan untuk melemahkan kita dari dalam. Jadi kita sebagai ahli UMNO patutnya tak terbelenggu dengan permainan dan juga daya persepsi yang dimainkan oleh pihak lain.

“Sewajarnya ini masanya untuk  kita lihat bagaimana… apa usaha dan juga kaedah yang akhirnya boleh menguatkan kembali UMNO. Itu sepatutnya jadi fokus dan juga sepatutnya jadi tumpuan kita sebagai ahli UMNO yang setia,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.