Isu Arak: Pas Hanya Berlakon Mahu Henti Kerjasama Dengan Gerakan – Mohd Puad

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi beranggapan bahawa Pas hanya berlakon untuk menghentikan kerjasama bersama Gerakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 kerana tidak sefahaman mengenai isu sumbangan syarikat arak kepada sekolah aliran cina.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau juga percaya bahawa lakonan Pas itu hanyalah bertujuan untuk mendapatkan kuasa.

“Gerakan tidak akan keluar Perikatan Nasional (PN). Pas dan Gerakan sama-sama berlakon. Gerakan tahu Pas berlakon isu arak demi mendapatkan kuasa.

“Percayalah, apabila Pas dapat kuasa nanti parti itu akan ikut sahaja cakap Gerakan pasal arak. Semua jadi ‘harus’.

“Pas tahu Gerakan cuma mengugut. Ia parti nyamuk. Hanya ‘melukut di tepi gantang’. Mana berani (Gerakan) keluar PN. Tiada tempat lain untuk mengemis,” katanya.

Pada Ahad media melaporkan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari kecewa dengan Gerakan yang menyokong isu derma syarikat arak kepada sekolah.

Justeru, beliau tidak menolak kemungkinan tiada kerjasama dengan parti komponen dalam PN itu pada PRU ke-16.

Media sebelum ini melaporkan Gerakan turut senada dengan Dap supaya syarikat berkaitan arak atau rokok tidak dihalang untuk memberi dana kepada sekolah aliran Cina.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau mendakwa, sekolah aliran Cina selama ini tidak diberikan dana mencukupi oleh kerajaan pusat untuk beroperasi.

Beliau berkata, segala fasiliti dan kemudahan yang disifatkan terbaik yang dimiliki sekolah aliran Cina ketika ini adalah hasil sumbangan dana pihak luar bukan saja daripada syarikat besar, malah golongan peniaga kecil dan penjaja.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menolak pengecualian untuk pematuhan garis panduan yang melarang sekolah menerima dana yang dijana daripada penjualan produk tembakau dan minuman beralkohol.

Beliau berkata walaupun semua sumbangan dialu-alukan, namun ia mesti mengikut garis panduan kementerian. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.