Bukan Cari Populariti Tapi Ingin Berbakti Pada Rakyat Nenggiri – Mohd Azmawi

GUA MUSANG, 30 Julai – Calon Barisan Nasional (BN), bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menegaskan bahawa beliau bukannya mencari kejayaan peribadi sebaliknya mahu membantu rakyat di Nenggiri.

Ujarnya, dengan kejayaan yang bakal dikecapi serta sokongan yang tidak berbelah bagi terutamanya dari pengundi dan jentera UMNO/BN, ia merupakan satu kejayaan untuk semua.

“Saya tidak mencari kejayaan peribadi dan hanya insan kerdil yang ingin menabur bakti kepada rakyat di DUN Nenggiri.

“Insya-Allah… kejayaan ini adalah kejayaan parti. Kejayaan ini adalah kejayaan kita semua dan tiada apa yang mampu ucapkan hanya terima kasih, terima kasih dan terima kasih,” katanya pada Majlis Pelancaran Jentera BN, di Dewan Rakyat Bukit Cekati, di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi BN merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengarah Operasi Pilihan Raya Negeri Kelantan merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Ahmad Jazlan Yaakob; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh; Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, kepimpinan UMNO Pusat, Negeri serta jentera parti.

Mengulas lanjut, Azmawi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Gua Musang menzahirkan penghargaan kepada semua pimpinan UMNO dan BN.

“Terima Kasih kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan seluruh pimpinan yang telah mencalonkan saya di N43 pada PRK DUN Nenggiri.

“Tidak terlupa juga terima kasih pada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob serta pimpinan UMNO Negeri Kelantan dan juga terima kasih kepada seluruh jentera BN dan Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 3 Ogos manakala undi awal ditetapkan pada 13 Ogos dan hari mengundi pada 17 Ogos. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit