UMNO/BN Mainkan Peranan Tersendiri Dalam Kerajaan Perpaduan – Tengku Zaihan

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Tohmahan dan segala pandangan negatif yang dilontarkan terhadap keberadaan UMNO/Barisan Nasional (BN) di dalam Kerajaan Perpaduan hari ini hanyalah sekadar momokan untuk mengelirukan pandangan rakyat terhadap parti berkenaan.

Ketua Penerangan UMNO Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata pada dasarnya UMNO/BN telah meletakkan posisinya dengan betul apabila turut memainkan peranan dalam kerajaan hari ini malah apa yang penting berpaksikan kepada prinsip perjuangan demi kepentingan rakyat serta negara.

“Sejak daripada dahulu hinggalah ke hari ini Islam diperjuangkan menerusi pelbagai platform dan juga pelbagai aktiviti dan seperti mana yang dilaksanakan juga oleh mantan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh yang mengadakan Imtiaz yang mana dengan Imtiaz itu melahirkan Huffaz ataupun hafal Al-Quran.

“Bukan sahaja hafal Al-Quran dalam bidang sains sosial, tapi dari segi sains tulen yang mana kalau ada seorang doktor, doktor itu yang hafal Al-Quran. Kalau ada ‘engineer’, ‘engineer’ itu hafal Al-Quran. Dan apatah lagi sekarang ini Timbalan Perdana Menteri selaku, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memperkasakan lagi program-program seperti mengadakan Pra-Tahfiz Al-Quran melalui KEMAS.

“Ini menunjukkan bahawa menjayakan agenda untuk memperkasakan syariah ataupun pelaksanaan untuk memperkasakan, menyuburkan aktiviti untuk meningkatkan syiar Islam itu bukannya dimonopoli oleh mana-mana parti malah ini menunjukkan bahawa UMNO tidak lari daripada perjuangan demi agama, bangsa dan negara,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau seterusnya menegaskan segala dasar berkenaan membuktikan UMNO berada pada landasan yang sebaiknya dan begitu juga peranan yang dimainkan oleh menteri-menteri UMNO/BN yang berada di dalam kabinet hari ini.

“Lontaran demi lontaran hanya sekadar menyerlahkan pihak tertentu tidak senang dengan apa juga yang diperjuangkan oleh UMNO di dalam kerajaan.

“Dakwaan itu bukan sahaja negatif malah tohmahan-tohmahan berkenaan sangat tidak berasas. Bukankah kita tegaskan bahawa UMNO bukan sahaja tidak pernah berganjak dan tidak pernah berundur malah tidak pernah lari daripada landasan untuk kita memperkuatkan apa juga aktiviti dan juga agenda demi kepentingan negara serta seluruh rakyat,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.