PRK Nenggiri: UMNO Beri Kepercayaan Pada Orang Muda, Raih Sokongan – Kamil Ibrahim

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang, Mohd Kamil Ibrahim menzahirkan penghargaan pada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan parti meletakkan calon orang muda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Jelasnya, keputusan itu menunjukkkan kepimpinan parti terus beri kepercayaan kepada calon Pemuda UMNO yang mempunyai jiwa rakyat dan berwibawa.

“Terima kasih kepada Presiden dan pucuk kepimpinan UMNO atas kepercayaan meletakkan calon pemuda yang berwibawa dan mempunyai naluri jiwa rakyat untuk PRK DUN Nenggiri.

“Sejak dari dahulu lagi, Barisan Nasional (BN) memang menitik berat berkenaan calon yang perlu diletakkan untuk memimpin dan menjaga kepentingan rakyat dalam satu-satu kawasan.

“Dengan BN mencalonkan Ketua Pemuda UMNO Negeri Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani untuk DUN Nenggiri telah membuktikan bahawa BN serius untuk melakukan perubahan terhadap parti,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Kamil yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Raub percaya dengan sifat kepimpinan yang ada pada calon DUN Nenggiri akan berlaku perubahan yang drastik pada parti ini.

“Saya percaya dengan sikap dan kepimpinan yang ada pada diri sahabat saya ini menjadi langkah pertama dan asbab untuk kita semua melihat akan perubahan dan sinar kepada parti kita kerana rakyat masih bergantung harap kepada UMNO/BN untuk melakukan perubahan.

“Ini kerana UMNO bukannya milik seseorang individu akan tetapi UMNO adalah parti rakyat yang banyak berjasa dari dulu, kini dan selamanya,” katanya lagi.

Pada masa yang sama beliau harap jentera parti terus fokus untuk menang pada PRK Nenggiri.

“Ayuhlah kita bersama- sama fokus membantu memenangkan parti BN di PRK Nenggiri. Hanya UMNO sahaja mampu mengangkat dan memperjuangkan nasib rakyat,” ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos depan, manakala 17 Ogos pula hari pengundian. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit