Pas Tiada Keyakinan Kepada Rakan Gabungan PN – Mustapha

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Usaha Pas memujuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerima parti itu menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan membuktikan bahawa mereka tidak percaya dengan rakan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, Pas telah sedar bahawa PPBM tidak mempunyai kekuatan sendiri dan hanya bergantung kepada jentera mereka.

“Pas sedang berusaha untuk meyakinkan PMX supaya menerima parti itu ke dalam gabungan Kerajaan Perpaduan. Usaha itu dilakukan melalui beberapa siri pertemuan dan perbincangan diantara pemimpin tertinggi Pas dengan PMX.

“Usaha itu jelas membuktikan Pas sudah tidak ada keyakinan untuk bersama dengan PPBM dalam gagasan PN. Pas sedar bahawa selama ini mereka tertipu kerana PPBM tidak mempunyai kekuatan tersendiri malah menjadikan Pas sebagai kuda tunggangan. Pas juga sedar selama ini mereka memikul biawak hidup.

“Kenyataan terbaharu Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang menyatakan kemungkinan Pas akan meninggalkan Gerakan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 juga membuktikan parti itu tidak ada keyakinan kepada mereka,” katanya menerusi satu kenyataan.

Jelasnya, Pas dilihat berat hati untuk memberikan laluan kepada PPBM untuk mewakili PN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

“Dalam PRK Nenggiri, Pas dengan berat hati memberi laluan kepada PPBM walaupun Pas lebih berhak dan ada desakan oleh pemimpin Pas tempatan supaya mereka yang bertanding.

“Gesaan pemimpin Pas Gua Musang itu ada asas kerana mereka tahu PPBM tidak ada pengaruh dan hanya mengharap bantuan jentera serta undi Pas. Jadi lebih baik Pas saja yang bertanding.

“Apa pun yang jelasnya Pas perlukan jalan pintas untuk berada dalam kerajaan. Caranya ialah dengan cuba meyakinkan PMX supaya menerima Pas ke dalam gabungan Kerajaan Perpaduan, meninggalkan PPBM dan Gerakan hayut bersendirian,” katanya lagi.

Menurutnya, sekiranya cubaan Pas untuk menyertai Kerajaan Perpaduan ini berjaya maka ia turut membuktikan bahawa mereka adalah sebuah parti yang mengejar jawatan.

“Sekiranya usaha mereka ini berjaya, maka sekali lagi Pas membuktikan mereka adalah sebuah parti yang mengejar jawatan demi pemimpin yang rakus dan tamak.

“Pas tidak sanggup menunggu PRU ke-16 kerana mereka tidak mahu memberi ruang kepada PPBM dan Gerakan yang dilihat tidak menguntungkan mereka. Episod yang berlaku kepada UMNO dalam Muafakat Nasional akan berulang kepada PPBM dan Gerakan.

“Inilah sikap dan belang Pas sebenarnya. Baling bantu sembunyi tangan. Benarlah kata Tengku Razaleigh Hamzah bahawa Pas seperti pelacur. Siapa yang bayar lebih di situlah dia tidur,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.