Kemenangan DUN Nenggiri Untuk Jambatan Kukuh Rakyat Dan Kerajaan Pusat – Ahmad Jazlan

GUA MUSANG, 29 Julai – Pengarah Operasi Pilihan Raya Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob meminta semua pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri supaya menyokong calon Barisan Nasional (BN).

Ini kerana katanya dengan kemenangan yang bakal diraikan ia tidak akan meruntuh kerajaan di Putrajaya dan tidak akan merobek kerajaan Negeri Kelantan namun ia akan membina jambatan antara kerajaan Pusat dan rakyat.   

“Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri ini tidak sedikit pun meruntuhkan Putrajaya dan tidak akan merobek Kota Darul Naim, tetapi pilihan raya ini adalah masa depan Nenggiri dan Gua Musang. Kita perlukan jambatan yang kukuh dengan Kerajaan Pusat dan PRK Nenggiri adalah masa yang paling sesuai.

“Jika menang, bantuan dari kerajaan pusat dapat disampaikan pada rakyat Nenggiri malah, pembangunan negeri Kelantan sama ada besar atau kecil ianya 80 peratus adalah sumbangan dari Kerajaan Pusat. Kerana itu rakyat Nenggiri perlu memilih kerajaan yang mampu untuk membela nasib semua.”

Jelas beliau, PRK kali ini amat penting kepada masyarakat di Gua Musang dan Nenggiri.

“Cukup-cukuplah kerajaan negeri yang ditadbir Pas menyalah dan memperguna seluruh rakyat di Gua Musang.

“Beratus juta hasil bumi ada tapi malangnya yang jadi kaya raya adalah bukan dari orang Nenggiri, bukan orang Gua Musang, bukan orang Kelantan, ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’… inilah falsafah kerajaan negeri Kelantan yang ada pada hari ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN di sini.

Turut hadir Pengerusi BN merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh; Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, kepimpinan UMNO Pusat, Negeri serta jentera parti.

Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan juga menjelaskan rakyat negeri terbabit sudah celik dan BN sudah siap siaga untuk rampas kembali DUN Nenggiri.

“Kami mesti menjaga negeri Kelantan ini baik-baik. Pihak sana jangan terlalu angkuh dan sombong dengan kekuasaan ini. Rakyat Kelantan sudah pun celik dan kami sudah bersedia. Ini adalah ‘signal’ awal dan sudah sampai masanya rakyat Kelantan bersama UMNO/BN dan Kerajaan Perpaduan.

“Kalau mencari tempat mandi, pertama teluk dan kedua pantai; kalau mencari pemimpin Nenggiri, pertama elok kedua pandai iaitu calon UMNO/BN. Menyedari kesilapan dan tempoh setahun kita kalah maka ini adalah saat perbetulkan kesilapan .

“Kalau kita ingin berjaya dan menang, insya-Allah… kita boleh menang. Bekerjalah dengan sepenuh keikhlasan jiwa nurani. Setiap dari kita punyai peranan masing-masing, rakan dan taulan kita satukan dan rayu mereka untuk beri kepercayaan, minta tolong akan undi mereka,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 3 Ogos manakala undi awal ditetapkan pada 13 Ogos dan hari mengundi pada 17 Ogos.

Ini adalah PRK ke-12 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 iaitu selepas PRK Bugaya (Sabah), Tioman (Perak), Padang Serai (Kedah), Kuala Terengganu (Terengganu), DUN Simpang Jeram dan Pulai (Johor), Pelangai (Pahang), Jepak (Sarawak), Kemaman (Terengganu), Kuala Kubu Baharu (Selangor) dan Sungai Bakap (Pulau Pinang). – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit