Empat Teras Akan Diaplikasi Di Pontian – Ahmad Maslan

PONTIAN, 29 Julai –  Empat teras penting akan diaplikasi Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan di kawasan berkenaan dalam usaha memastikan Pontian terus melangkah ke depan.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor seterusnya menegaskan empat teras tersebut antara lain akan memastikan UMNO Pontian yang ‘akrab’ serta ‘berjaya’.

“UMNO yang akrab Ketua Veteran UMNO yang akrab cawangan, bahagian, Wanita UMNO, Pemuda UMNO, Puteri UMNO, Veteran UMNO. Di Pontian kita panggil bukan UMNO empat peringkat tapi UMNO lima peringkat termasuk Veteran UMNO.

“Pada masa yang sama UMNO juga akrab dengan jabatan, ketua segala jabatan di Pontian… kita akrab dengan NGO, kita akrab dengan pelbagai pihak.

“Seterusnya ‘Pontian berjaya’… sebagaimana hari ini kita akan beri anugerah kepada yang berjaya termasuklah para pelajar dan mereka yang berjaya di Pontian ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat UMNO bahagian Pontian yang dirasmikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di Dewan Jubli Intan, di sini malam tadi.

Turut serta Timbalan Ketua UMNO Pontian, Datuk Mohd Sumali Reduan serta seluruh pimpinan dan perwakilan yang lain.

Ahmad Maslan menegaskan hasrat seterusnya adalah untuk mewujudkan ‘Pontian ceria’ dalam usaha memastikan masyarakatnya yang sentiasa bersatu padu dan ceria antara satu sama lain.

“Seterusnya ‘Pontian diberkati’… kurang hal-hal peceraian, kurang hal-hal dadah, kurang benda-benda yang tak baik yang berada dalam kawasan kita. Negeri memulakan Semarak Subuh, kita di Pontian pula buat Semarak Zuhur, Semarak Asar, Semarak Maghrib, Semarak Isyak, Alhamdulillah teruskan agar negara kita diberkati.

“Insya-Allah ‘Pontian ABCD’ akan jadi iltizam,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.