Sama-Sama Kita Pikul, Teroka Kaedah Baharu Perkasakan UMNO – Khaled
PASIR GUDANG, 28 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata parti itu harus meneroka cara dan jalan baharu dalam usaha untuk terus mendampingi sekaligus membantu menyelesaikan permasalahan rakyat.
Justeru katanya yang juga Ketua UMNO Pasir Gudang, semua pihak perlu memainkan peranan tersendiri dan bukan hanya terletak kepada pimpinan semata-mata dalam usaha merealisasikan perkara tersebut sekaligus menjadikan UMNO terus mendapat kepercayaan orang-orang Melayu serta seluruh rakyat.
“UMNO mesti meneroka cara dan jalan baharu untuk berhadapan dengan masyarakat. Kita mesti mempunyai banyak idea baharu, idea di luar kotak, dan cara kerja yang moden.
“Kita mesti mampu membawa pencerahan, menawarkan idea dan penyelesaian kepada isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat. UMNO gerakan kebaikan dan pencerahan bangsa Melayu bukan semata-mata sebagai satu parti politik. Inilah perbezaan antara UMNO dengan parti-parti Melayu yang lain.”
Dengan demikian katanya, apabila UMNO dapat menawarkan pencerahan, maka ia akan terus menjadi jurucakap bagi orang Melayu.
“Banyak contoh yang telah kita lakukan. Apabila kemiskinan menjadi isu yang menghimpit orang Melayu, kita membawa pencerahan dengan menawarkan dasar ekonomi baru. Kita menyusun masyarakat, kita beri tanah kepada orang Melayu, kita buka hutan baharu, kita wujudkan Felda, kita ada Felcra, kita ada Risda.
“Begitu juga dalam soal pelaburan, kita wujudkan PNB, ASN, ASB. Orang Melayu menyimpan, nak pergi haji, kita tubuhkan tabung haji dan sebagainya. UMNO jugalah yang mengindustrikan Malaysia. Penerbangan nasional, kereta nasional, syarikat perkapanan nasional, lapangan terbang sebagainya. Pencerahan kepada bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pasir Gudang, di sini, semalam.
Atas itulah pada hari ini, kata beliau lagi pelbagai program dapat dilihat termasuklah Program TVET, Pra Tahfiz Tabika Kemas dan pelbagai dasar lain dalam usaha memastikan kepentingan dan pembelaan terhadap rakyat dapat dilaksanakan.
“Kalau kita lihat presiden kita, membawa agenda TVET. Kerana kita tahu TVET merupakan satu instrumen yang boleh memberi daya saing dan kemahiran kepada orang Melayu dan anak bangsa yang lain dalam soal untuk berhadapan dengan cabaran semasa.
“Kita boleh ambil soal TVET ini sebagai satu lagi pencerahan. Dan kita ada di Pasir Gudang ini, Pusat Giat Mara. Begitu juga soal menjayakan industri halal, ataupun soal untuk mewujudkan Suruhanjaya Ekonomi Gig.”
Beliau berharap dalam pertemuan sebegini menerusi Mesyuarat UMNO peringkat bahagian akan dapat melontarkan banyak pandangan dan idea-idea baharu sebagai pencerahan.
“Jangan hanya berkisar mengenai UMNO. Pencerahan yang berkisar, yang berpijak, yang relevan kepada masalah yang dihadapi oleh masyarakat. Termasuklah yang terdapat di Pasir Gudang pada hari ini,” ujarnya lagi. – UMNO Online