UMNO Kembali Teguh… Politik Pembangunan, Perkhidmatan Perlu Diteruskan – Ahmad Zahid
MERSING, 27 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan para pemimpin dan akar umbi untuk meneruskan politik pembangunan serta perkhidmatan dalam usaha meneguhkan kembali kedudukan UMNO/Barisan Nasional (BN).
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, para pendukung parti perlu bermuhasabah mengenai segala kekurangan dan berusaha untuk memperbaikinya.
“Cuba kita lihat pada tahun 2018 apabila Perdana Menteri ketika itu yang pernah memerintah negara selama 22 tahun, Allah takdirkan jadi Perdana Menteri selama 22 bulan. Keadaan ini tak pernah berlaku di negara kita sebelum ini. Mengapakah berlaku dua Kali? Tentu ada pengajaran yang Allah mahu sampaikan kepada kita.
“Adakah kerana orang itu kuat atau kerana pembangkang yang pertama kali dapat jadi kerajaan itu kuat? Sebenarnya orang itu tidak kuat. Sebenarnya parti yang dipimpinnya tidak kuat. Sebenarnya pembangkang yang ditakdir untuk jadi kerajaan kerana UMNO/BN lemah. Kita dilemahkan apabila berlaku unsur-unsur dalaman yang melemahkan kita.
“Saya nyatakan ini kerana kita perlu muhasabah. Kita mesti membedah dengan hati yang ikhlas apakah kekurangan kita. Johor yang dahulu menjadi simpanan tetap turut berubah. Kita lihat di Kelantan, lebih 30 tahun kita tidak pernah kembali jadi kerajaan di sana. Pada ketika itu kita dapat 79 kerusi. Untuk bentuk Kerajaan, perlu peroleh 112. Itulah pertama kali UMNO/BN tak dapat bentuk Kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Mersing, di sini, pagi tadi.
Menurutnya, soal sentimen yang dimainkan oleh pihak lawan perlu ditangkis sebaiknya agar mereka tidak mempunyai peluang untuk menjatuhkan parti.
“Apa yang ‘bosku’ tak beri kepada kita? Mewah… bukan hanya wang daripada kerajaan untuk bantu rakyat, parti juga bantu jentera parti dari peringkat pusat, bahagian hingga cawangan. Tetapi kita tak cukup kerusi bentuk kerajaan pada ketika itu.
“Ertinya politik pembangunan dan perkhidmatan yang jadi pegangan tidak lagi relevan dalam situasi politik masa kini. Mereka yang menang bukan sebab jenteranya kuat… tetapi mereka memainkan isu dan sentimen. Itulah sebabnya saya ambil risiko untuk menghukum ‘musuh dalam selimut’ dalam parti. Biarlah sedikit tetapi berkualiti.
“Saya ingin mengingatkan diri dan kita semua. Kalau kita mahu menang kembali di Mersing, politik pembangunan dan perkhidmatan perlu diteruskan. Tetapi soal sentimen dan isu perlu ditangani sebaiknya. Kita tidak ada kekuatan memainkan isu. UMNO ini parti orang baik. Kalau kita mengikut kaedah lama, itulah yang terjadi,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan ahli dan akar umbi untuk berubah serta menggunakan pendekatan baharu agar UMNO/BN terus kekal relevan.
“Saya sebagai orang yang ambil alih parti ketika kalah, kita menang 7-0 dalam siri-siri Pilihan Raya Kecil (PRK). Siapa Presiden parti ketika itu? Atas semangat penyatuan ummah, kita sanggup berbaik dengan musuh politik. Kita lakukan ‘husnuzon’. Rupanya mereka memang nak cekik dan tendang kita. Saya menyeru diri saya agar berubah dan menggunakan pendekatan baharu supaya UMNO/BN relevan semua dalam pilihan raya akan datang.
“Ketepikan perbezaan di kalangan kita. Lupakan, dan bersatu untuk memberi kemenangan. Semalam di Tebrau saya bercakap kita duduk di atas pentas kerana orang di bawah. Masa bertanding, bertanding. Selepas bertanding kita kembali bertaut. Kita mesti positif. Buat kerja dan Insya-Allah bukan sahaja di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, kita akan rampas semula tetapi kalau di Tenggaroh itulah niatnya, saya akan ikhtiarkan agar kuota itu diberikan kepada parti itu di tempat lain.
“Jangan pula diberi peluang kita kecundang. Prinsipnya, kita perbetulkan diri kita dari dalam. Walaupun kita alami serba kesukaran, kita wajib lakukannya. Adakah kita mahu kekal 30 kerusi dalam Parlimen? Kita mahu lebih daripada itu dan kita kena buat kerja mcm orang nak menang. Pastikan dalam pilihan raya akan datang, gerakkan jentera daripada hari ini, kita lakukan penyatuan, rampas semula kerusi Parlimen Mersing ini,” katanya lagi. – UMNO Online