‘Hebat Lagi Pemimpin UMNO/BN, Dibanding Ahli Parlimen PN’

LIPIS, 27 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berpandangan UMNO Kelantan berupaya untuk melakukan perubahan dengan merampas kembali negeri itu daripada Pas.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian merangkap Ahli Parlimen Lipis berkata, ini dapat dilihat apabila ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) daripada negeri itu tidak kompeten dalam membawa suara rakyat di Dewan Rakyat.

Jelas Abdul Rahman, ia berbeza dengan pemimpin UMNO/Barisan Nasional yang berkaliber dan berpengalaman luas membabitkan hal-hal kebajikan rakyat di kawasan yang mereka wakili sewaktu menjadi ahli Parlimen.

“UMNO boleh rampas kembali daripada Pas di negeri Kelantan kalau bersungguh-sungguh laksana secara bersama. Saya percaya bukannya hebat sangat Ahli Parlimen Tanah Merah, Machang.

“Hebat sangat ke Ahli Parlimen Ketereh bercakap sedangkan dalam Parlimen pun tak buat apa-apa sampai minta peruntukan nak buat pejabat.

“Hebat lagi pemimpin kita daripada ahli Parlimen yang ada, jauh lagi hebat lagi Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan… bercakap pun bagus, bekerja rajin di Machang, kenapa dia ditolak?” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Kursus Pengukuhan Komunikasi Penerangan UMNO Peringkat Kelantan di Lipis, malam tadi, turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Mustapa Long.

Abdul Rahman dalam pada itu berkata, rakyat Kelantan perlu merasai kembali era pentadbiran UMNO/BN kerana perjuangan parti keramat ini perlu dijadikan sandaran di sebalik peralihan pemimpin yang bersilih ganti.

Menurut beliau ini termasuk ahli-ahli Parlimen PN yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 di Kelantan yang merupakan bekas pemimpin UMNO/BN.

“Kita nak supaya anda dapat perubahan, rasai Kelantan ini di bawah UMNO/BN anda akan rasa seronok kembali seperti yang terdahulu.

“Sebab itu kita perlu pertahankan dan perkukuhkan dan kita ingat bahawa pemimpin itu silih berganti. Maknanya yakinlah bahawa kesulitan itu mesti ada kesenangan kemudahan.

“Mesti ada sinar di hujung terowong, tak mungkin tiada sinar sebab itu saya katakan biar patah sayap bertongkat paruh kita kena pertahankan UMNO di Kelantan,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.