Ahmad Zahid Yakin Dengan Penyatuan, Johor Terus Kekal Di Bawah UMNO/BN
JOHOR BAHRU, 27 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin bahawa dengan penyatuan di kalangan ahli dan akar umbi parti akan membolehkan Johor terus berada di bawah kepimpinan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Johor akan terus menjadi ‘fixed deposit’ UMNO/BN apatah lagi apabila negeri tersebut dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang sentiasa komited menyantuni rakyat.
“Saya amat menghargai kepimpinan UMNO Bahagian Tebrau ini. Kita lupakanlah… yang telah berlalu biar berlalu. Saya amat bersetuju, Insya-Allah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram akan dipertahankan dan akan kita rampas semula DUN Puteri Wangsa.
“Di Johor, kita menang 40 kerusi DUN daripada 56. Ertinya kita mempunyai suara lebih dua pertiga. Saya memberi tahu rakan-rakan kepimpinan bahagian-bahagian seluruh Negeri Johor, Insya-Allah di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi, negeri ini akan kekal sebagai kubu dan simpanan tetap UMNO.
“Saya merasakan bahawa banyak tugas berat perlu dilaksanakan. Ada beberapa negeri lagi menjadi simpanan tetap, namun semuanya cair. Tetapi saya amat yakin jika penyatuan di kalangan kita untuk mengembalikan semangat baharu di kalangan akar umbi, dalam PRN akan datang Johor akan tetap di bawah UMNO/BN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Tebrau yang diadakan di sini, malam tadi.
Tegasnya, kepimpinan di setiap peringkat haruslah memainkan peranan sebaiknya untuk menarik minat lebih ramai pengundi agar memberikan kepercayaan dan sokongan kepada UMNO/BN.
“Namun kita harus berada di alam realiti. Kita jangan ambil perkiraan bahawa apabila kita bersama Kerajaan Perpaduan… sokongan lampau dijadikan asas untuk tentukan tahap dukungan rakyat kepada kita. Kita mesti gamit semula dukungan ahli yang menjadi pengundi. Itu pun tidak cukup.
“Di Tebrau ini ada lebih 200,000 pengundi. Tentunya kita perlu menggamit dukungan daripada bukan ahli UMNO, juga yang tidak sertai mana-mana parti. Di Tebrau ini ada ramai pengundi Sabah dan Sarawak. Insya-Allah, kalau kuat kepimpinan UMNO Tebrau ini, saya fikir mereka akan bersama-sama kita untuk merampas kembali kerusi DUN Puteri Wangsa.
“Saya yakin di bawah kepimpinan Ketua UMNO Bahagian tebrau, dibantu barisan kepimpinan bahagian, saya amat yakin Tebrau ini akan menjadi kawasan putih semula untuk kita,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa rakyat akan kembali memberikan sokongan kepada UMNO/BN sekiranya para pemimpin dan akar umbi menguatkan jajaran kepimpinan dan menonjolkan integriti.
“Realitinya ialah jika kita mengimbau PRN Melaka… kita peroleh lebih tiga perempat suara majoriti. Ketika itu, kita menguasai Kerajaan Negeri Melaka. Kita juga melihat bagaimana dukungan diberikan para pengundi kepada calon BN ketika itu.
“Bila kita perkuatkan jajaran kepimpinan kita, kita tarik mereka yang bukan ahli… kita tarik yang tidak sertai mana-mana parti, kita perlihatkan integriti. Maka rakyat akan berikan sokongan kepada kita seperti di PRN Melaka yang lalu.
“Dalam politik mesti ada cabaran. Asalkan kita lakukan atas nama kebenaran, pedulikan saja. Saya ingatkan agar kita tidak akan duduk di atas pentas ini kalau bukan dengan sokongan (akar umbi) di bawah ini. Jangan ketika pilihan raya dan pemilihan parti sahaja, kita turun ke bawah. Selepas pada itu, kita langsung tidak santuni yang di bawah,” katanya lagi.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Abdul Halim Suleiman, Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed, Ketua UMNO Bahagian Kulai, Datuk Jafni Md Shukor, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Manndzri Nasib, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Noor Azleen Ambros, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Johor, Rina Farhana Abdullah dan seluruh barisan kepimpinan empat peringkat UMNO Bahagian Tebrau. – UMNO Online